Pengendali blog didakwa fitnah negara

KUALA LUMPUR: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam membuat laporan polis terhadap pengendali laman blog, Jeff Ooi berhubung kenyataannya yang didakwa memfitnah dan memburukkan negara, kerajaan dan pasukan polis menerusi internet.

Laporan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma) dan Pertubuhan Seni Silat Ikatan Kalam Utama Malaysia (Pikum) dibuat berikutan kenyataan Ooi atau nama sebenarnya Ooi Chuan Aun kepada wartawan Al-Jazeera yang disiarkan di laman web www.youtube.com, berhubung perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada Sabtu minggu lalu.

Laporan dibuat Presiden Kimma, Amir Amsaa Alla Pitchay; Pegawai Aduan PPIM, Mior Mohd Hadzlan Hamid dan Guru Utama Pikum, Dr Zahalan Man di Balai Polis Sentul di sini pada jam 4.30 petang.

Ia dibuat selepas pemimpin NGO berkenaan membaca laman web itu atau menerima aduan daripada ahli dan orang ramai.

Mereka meminta polis menyiasat Ooi kerana wawancara itu bukan saja memburuk dan memfitnah negara, malah bersifat menghasut hingga boleh membawa kepada perpecahan kaum.

Ooi juga didakwa menyebarkan maklumat tidak betul kepada Al-Jazeera dengan mengatakan pasukan polis bertindak ganas terhadap orang awam.

Jurucakap polis mengesahkan laporan berkenaan.

0 comments: