Kedah, Perlis jadi tumpuan

Oleh Hamdan Saaid

KANCAH bola sepak Liga Malaysia musim 2007-2008 disingkap tirainya bermula dengan enam pertemuan Liga Super dengan fokus terarah kepada perlawanan di Alor Star membabitkan juara tiga trofi, Kedah menentang musuh tradisi, Perlis, malam ini.

Pertembungan dua gergasi dari Utara itu menyaksikan misi turun dengan dua matlamat – pertama mengutip mata penuh dalam saingan Liga Super musim baru dan ketika sama merasai nikmat menjulang Piala Sultan Ahmad Shah dalam Perlawanan Sumbangsih.

Pertemuan di Stadium Darulaman juga mampu memaparkan hala tuju anak buah pengendali Azraai Khor Abdullah yang boleh berbangga dengan penguasaan dalam tiga kejuaraan musim lalu – Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Sejauh mana pasukan Hijau Kuning mampu meneruskan kesinambungan kecemerlangan hasil tenaga pemain muda selain kekuatan pemain import terutamanya penyerang sensasi Marlon Alex James bakal terjawab, malam ini sekalipun masih terlalu awal untuk menilai keupayaan mereka.

Ketika Liga Super hanya dilangsungkan dua perlawanan malam ini dan Rabu sebelum dihentikan hampir sebulan kerana temasya Sukan Sea Korat, dan sepak mula Liga Perdana hanya pada 17 Disember depan, banyak persoalan mampu dilontarkan ketika ia menjadi ujian buat pemimpin terbaru dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dengan Setiausaha Agung baru, Datuk Azzuddin Ahmad, Timbalan Presiden baru Khairy Jamaluddin, empat Naib Presiden baru serta Penolong Setiausaha Agung baru, Saifuddin Abu Bakar, ramai yang akan memerhatikan perjalanan Liga-M yang mampu melambangkan keupayaan anggota serba baru itu.

Namun, belum pun liga bermula, sudah ada tanda-tanda betapa akan wujudnya masalah dengan perebutan pemain antara skuad bola sepak negeri dengan pasukan Bawah 19 Tahun kebangsaan di bawah kendalian K Rajagopal yang akan beraksi julung kali dalam Liga Perdana musim ini.

Niat untuk memasukkan B-19 dalam kancah liga tempatan memang murni untuk memberikan mereka pendedahan sekalipun pembabitan skuad Olimpik 2000 dalam liga tempatan sebelum ini tidak mendatangkan hasil yang dimahukan.

Terpulang kepada kebijaksanaan FAM dalam menangani masalah perebutan pemain yang difahamkan berlakunya pendaftaran bertindih oleh pasukan negeri dan B-19 antaranya yang ketara penyerang muda Perak, Ahmad Fakri Saarani.

Ketika FAM musim ini memastikan pembabitan seorang pemain berusia B-21 dalam 90 minit, ia mungkin mampu memberikan Ahmad Fakri peluang terbaik beraksi di kalangan pasukan terbaik dalam liga utama berbanding di liga bawahan.

Dan harapan besar juga diletakkan di bahu Datuk Che Mat Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, supaya tidak berlaku banyak perubahan jadual dan gelanggang perlawanan seperti yang berlaku setiap musim sejak lima enam tahun lalu.

Ia bakal menjadi penilai kepada keberkesanan pemilihan anggota jawatankuasa baru sesudah kegagalan jawatankuasa berkenaan sebelum ini mematuhi jadual yang mereka sendiri keluarkan.

Tiada alasan remeh seharusnya dilayan jika mahu liga tempatan setaraf dengan liga-liga utama di rantau Asia. Selamat bertanding!

0 comments: