Negeri boleh pecat kakitangan PBT

Oleh Rafidah Mat Ruzki

SHAH ALAM: Kerajaan negeri berhak memberi teguran terhadap kakitangan dan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berada dalam bidang kuasa masing-masing, termasuk menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) atau memberhentikan kakitangan yang tidak produktif.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata sistem pentadbiran di PBT mengguna pakai sistem perkhidmatan tertutup dan tidak sama seperti pegawai dan kakitangan yang berkhidmat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya, keputusan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, untuk menawarkan VSS atau memberhentikan kakitangan dan pegawai yang tidak produktif dibuat untuk memperbaiki perkhidmatan.

"Yang penting ialah sistem dan struktur perkhidmatan itu baik dan ditambah baik sehingga sesiapa pun yang cuai atau mengabai tugas senang dan dapat dikesan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2007 dan Ekspo Kitar Semula 2007 di Dataran Kemerdekaan di sini, semalam.

Kelmarin, Dr Mohamad Khir mengumumkan Kerajaan Selangor akan meminta pegawai dan kakitangan PBT di negeri itu bersara awal atau diberhentikan jika prestasi kerja mereka masih pada takuk lama.

Ong berkata, kementeriannya dalam proses mengkaji semula sistem perkhidmatan PBT secara menyeluruh dan sedang melihat bagaimana struktur dan sistem itu boleh ditambah baik termasuk perkhidmatan kakitangan dan pegawai PBT tanpa mengetepikan bidang kuasa kerajaan negeri.

"Kita harap ia boleh membawa sesuatu perubahan yang berkesan terhadap perkhidmatan PBT," katanya.

Mengenai penggunaan sistem penarafan yang dimulakan Selangor dan mendahului kementeriannya, Ong berkata, kerajaan negeri berhak untuk mengambil langkah yang wajar dalam pengurusan PBT dan Kerajaan Pusat sentiasa menyeragamkan usaha yang baik untuk seluruh negara.

"Saya rasa tak apalah siapa buat apa dulu, mereka sudah buat sesuatu yang baik, kita ucap tahniah, syabaslah, teruskanlah. Kalau sesuatu masih boleh tambah baik, kalau kita dapat kongsi pengalaman lebih baik," katanya.

Sementara itu, Ong berkata Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang diwartakan 30 Ogos lalu, akan dikuatkuasakan April tahun depan.

Katanya, kementerian itu dalam perbincangan mengenai peraturan membabitkan pengurusan sisa pepejal yang ketika ini semua kerja pengurusan sisa pepejal masih dijalankan PBT.

Katanya, PBT masih mempunyai peranan dalam proses pengurusan sisa pepejal walaupun selepas akta itu dikuatkuasakan.

"Dengan adanya akta ini, Kerajaan Pusat akan mewajibkan industri tertentu mengambil balik bahan yang dihasilkan selepas ia digunakan untuk dikitar semula.

"Bagi bahan yang tidak boleh dikitar semula, kita akan kaji kemungkinan mereka perlu bertanggungjawab untuk menanggung kos pelupusan," katanya.

Ong berkata, selain mewajibkan kitar semula, akta berkenaan turut menyatakan jenis hukuman yang boleh dikenakan terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan.

Katanya, denda adalah dalam bentuk wang atau cukai dan tidak akan membabitkan hukuman berbentuk penjara, selain memberikan insentif kepada mereka yang melaksanakan program kitar semula.

0 comments: