Suruhanjaya Diraja bukti kerajaan telus

Oleh Fazli Abdullah, Rohaniza Idris, Sazarina Shahrim

KUALA LUMPUR: Pengumuman penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes klip video Lingam yang mengandungi perbualan telefon seorang peguam terkemuka dengan hakim kanan untuk mengatur pelantikan hakim mendapat sokongan pemimpin kerajaan dan pembangkang.

Mereka berpendapat ia membuktikan ketelusan kerajaan menangani isu berkenaan dan tidak melindungi mana-mana pihak.

Presiden MCA dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata Kabinet pada Rabu lalu membincangkan panjang lebar laporan panel khas yang dilantik menyiasat kes berkenaan dan setuju Suruhanjaya Diraja ditubuhkan.

“Kerajaan komited dan telus mengenai isu berkenaan. Tiada apa yang hendak disorokkan, maka wajarlah suruhanjaya itu ditubuhkan. Ini bertepatan dasar kerajaan yang menggalakkan integriti dalam semua urusan,” katanya semalam.

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berharap penubuhan Suruhanjaya itu dapat menamatkan kontroversi isu berkenaan.

Sambil mengalu-alukan keputusan kerajaan, beliau berkata, suruhanjaya yang mempunyai kuasa penuh akan dapat menjalankan siasatan dengan terperinci.

Kelmarin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan kerajaan setuju menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes itu dan ia wajar berdasarkan laporan panel khas yang menyiasat kesahihan klip video berkenaan, baru-baru ini.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata beliau bersedia mengemukakan idea dan pandangan dari perspektif perundangan mengenai hasil laporan panel bebas khas.

Dr Rais berkata, beliau akan bekerjasama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz serta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bagi menyediakan cadangan penubuhan suruhanjaya itu.

“Kami akan bekerja keras memberikan idea dan kaedah perundangan selanjutnya boleh diambil bagi membantu Peguam Negara membentuk Suruhanjaya Diraja yang bertenaga dari segi undang-undang untuk mendapatkan kesahihan klip video terbabit," katanya.

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, berharap suruhanjaya itu dianggotai mereka yang bebas supaya hasil siasatan tidak diragui.

“Kes klip video ini adalah isu besar kerana membabitkan sistem kehakiman negara. Kami gembira dengan langkah kerajaan menubuhkan suruhanjaya walaupun hanya selepas dua bulan didesak oleh pelbagai pihak,” katanya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Mohd Azmin Ali, berkata tugas suruhanjaya itu perlu menyeluruh dan bukan hanya untuk isu kesahihan klip video berkenaan.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, berkata penubuhan suruhanjaya itu dapat memberi semula keyakinan masyarakat terhadap ketelusan badan kehakiman negara.

“Penubuhan suruhanjaya itu perlu untuk membuktikan sistem kehakiman kita benar-benar bebas,” katanya.

0 comments: