Pertemuan Kedah, Perlis buka tirai Liga Malaysia

ALOR STAR - Pertembungan pembuka tirai Liga Super Kedah menentang Perlis yang juga merupakan perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah malam ini bertambah menarik apabila kedua-dua pasukan dilihat cuba melancarkan perang psikologi, lapor SHARIZA ABDULLAH.

Ketika Penolong Pengurus pasukan Perlis, Mohd. Noor Aziz menyatakan pasukan Singa Utara tidak gerun dengan kelibat Sang Kenari yang berstatus juara, Pengurus pasukan Kedah, Datuk Othman Aziz pula menjawab: ‘‘Kita lawan dulu.’’

Dalam pada itu, Mohd. Noor menyifatkan misi Kedah untuk mempertahankan status kejuaraan yang dirangkul musim lalu adalah lebih sukar daripada memenanginya.

Malah, katanya, kehadiran bekas pemain Kedah, K. Soley dalam skuad Perlis bakal menjadi duri dalam daging kepada bekas pasukannya itu.

Othman pula berkata, meskipun skuad Kedah mempunyai tanggungjawab yang berat musim ini, namun para pemainnya telah memahami peranan masing-masing dengan diingatkan supaya memberi komitmen dan persembahan terbaik dalam perlawanan tersebut.

“Kami akan turun dengan misi mesti menang untuk melengkapkan kejuaraan selepas merangkul Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia,” tegasnya.

Mohd. Noor dan Othman bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus kedua-dua pasukan menjelang perlawanan merebut Piala Sultan Ahmad Shah yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Hamidin Mohd. Amin di pejabat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) di sini, semalam.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah ketua jurulatih kedua-dua pasukan iaitu Mohd. Azraai Khor Abdullah dan Abdul Rahman Ibrahim.

Dalam pada itu, Hamidin berkata, para peminat dan penyokong kedua-dua pasukan yang ingin menonton perlawanan antara Kedah dan Perlis itu boleh mendapatkan tiket yang dijual di Stadium Darul Aman bermula pukul 10 pagi ini.

Katanya, sebanyak 29,0000 tiket berharga RM15, RM12 dan RM7 telah dicetak bagi perlawanan tersebut dan orang ramai dinasihatkan membeli tiket lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

0 comments: