12,000 SMS sokong Khir

SHAH ALAM 17 Nov. – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, beliau menerima 12,000 khidmat pesanan ringkas (SMS) menyokong tindakannya menghadiahkan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal mengutip hasil cukai yang disasarkan.

Beliau berkata, kebanyakan SMS termasuk emel dan surat yang menyatakan sokongan itu diterima daripada masyarakat umum, persatuan-persatuan dan komuniti perniagaan.

Menurutnya, sebahagian daripada mereka juga memberikan pandangan bagaimana untuk memperbaiki mutu perkhidmatan PBT di Selangor.

‘‘Sokongan dan pandangan tersebut bermakna mesej yang ingin disampaikan melalui pemberian hadiah penyapu itu difahami.

‘‘Saya juga berharap selain mereka, semua orang juga akan faham mengapa mulai tahun depan, tindakan bersara awal atau diberhentikan kerja pula dikenakan terhadap pegawai atasan PBT yang tidak bekerja dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Konvoi Rakan Muda Malaysia-Thailand- Cambodia -Vietnam 2007 di kediamannya di sini hari ini.

Seramai 110 peserta yang menaiki 40 kereta pacuan empat roda menyertai konvoi tersebut.

Turut hadir Penasihat Program Konvoi, Datuk Dr. Teh Kim Poo, Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pemuda Persekutuan Persatuan Belia Lee, Datuk Lee Pei Wah.

Mengenai lawatan mengejut ke Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) semalam, beliau berkata, pihaknya akan meneruskan lawatan mengejut di PBT lain selepas ini.

‘‘Dengan ini juga saya ingin menegaskan yang pada tahun hadapan kerajaan mahu melihat peningkatan produktiviti dua kali ganda dari tahun sebelumnya.

‘‘Jadi mulai sekarang saya mahu semua belajar bekerja bersungguh-sungguh,” jelasnya.

Mengenai program konvoi itu, beliau berharap peserta mengambil peluang untuk mempelajari sesuatu yang positif dan berguna semasa di tempat orang.

‘‘Saya ingin anjurkan agar rakan-rakan belia menjadikan program ini sebagai latihan pemantapan pengurusan diri dan pasukan,” katanya.

0 comments: