Harga roti burger naik mendadak

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) akan menyiasat dakwaan kenaikan mendadak harga roti burger yang kini mencecah RM7 sebungkus (40 buku roti) dalam tempoh sebulan.

Harga roti yang sama ialah RM5 pada bulan lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata, kementerian akan menyiasat sama ada kenaikan harga barang itu berkaitan dengan penggunaan tepung yang diperkaya atau tepung biasa yang dikawal harganya.

“Kalau dakwaan betul kita akan siasat dan ambil tindakan. Harga tepung masih kekal kecuali kalau dia (pengilang) guna tepung yang diperkaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Pameran Peluang Perniagaan Melalui Sektor Peruncitan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hanya tepung biasa yang dikawal dijual RM1.35 sekilo, manakala harga tepung yang diperkaya tidak dikawal.

Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas hasil tinjauan Bernama semalam, yang mendapati kenaikan RM2 bagi sebungkus roti burger menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga burger (daging) daripada RM1.90 kepada RM2.20 sebungkus.

Pada 3 November lepas, Shafie berkata, kenaikan harga roti antara 10 sen hingga 30 sen awal bulan ini tidak membebankan pengguna dan keputusan menaikkan harga roti itu berpatutan kerana 70 peratus daripada kos kenaikan itu digunakan pengilang roti mengimport tepung yang diperkayakan.

Mulai 1 Nov, dua syarikat pengeluar roti menjual roti bersaiz besar pada harga RM2.90 sebungkus meningkat 30 sen, manakala roti bersaiz kecil meningkat daripada RM1.80 kepada RM2.10.

– Bernama

0 comments: