Sheikh Muszaphar kembali ke tanah air awal November

MOSCOW 23 Okt. - Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang selamat kembali ke Bumi kelmarin selepas berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama 10 hari, dijangka pulang ke tanah air pada awal bulan depan.

Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keadaan kesihatannya dan juga kerjasama penyelidikan yang dijalankan oleh Sheikh Muszaphar bersama Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA).

Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, sepanjang berada di ISS, Sheikh Muszaphar terikat dengan ESA dalam menjalankan empat kajian, antaranya membabitkan persepsi pergerakan dan kesan mikrograviti terhadap sakit di bahagian belakang badan.

“Kajian bersama ESA adalah satu proses timbal balas yang mana dengan menyertai kajian itu, pihak ESA telah memberikan Sheikh Muszaphar peluang untuk menambah berat barang yang boleh dibawa pulang dari ISS iaitu daripada lima kilogram kepada tujuh kilogram.

“Oleh itu, selepas Sheikh Muszaphar pulang ke Bumi, keempat-empat kajian itu masih berterusan. Jika selesai dengan cepat, mungkin 1 atau 2 November ini, beliau boleh pulang ke tanah air.

“Bagaimanapun, selepas pulang nanti, beliau terpaksa datang semula ke Star City di Moscow pada 6 November ini bagi menyelesaikan beberapa perkara,'' katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Sheikh Muszaphar selamat mendarat di Bumi pada pukul 2.37 petang kelmarin waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia) selepas menempuh perjalanan selama tiga jam 23 minit dengan kapsul Soyuz TMA-10.

Selain beliau, turut berada dalam kapsul tersebut adalah dua angkasawan Rusia iaitu Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Chakalovsky, dekat sini, ketiga-tiga angkasawan itu kemudiannya dibawa ke Pusat Latihan Kosmonaut Gagarin (GCTC) untuk menjalani pemeriksaan dan seterusnya dikuarantin.

Mengulas lanjut, Dr. Zulkeffeli berkata, kesihatan Sheikh Muszaphar kini berada dalam keadaan baik dan beliau kini sudah dapat mengadaptasikan keadaan graviti bumi.

Beliau seterusnya merakamkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara, Datuk Dr. Mazlan Othman, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, pasukan penyelidik dan media yang telah banyak membantu menjayakan Program Angkasawan Negara.

“Banyak pihak yang telah memberikan bantuan baik secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Kepada Dr. Mazlan, terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk menguruskan program ini.

“Juga kepada media yang telah memberikan liputan yang cukup menyeluruh dalam memberikan maklumat berhubung Program Angkasawan Negara kepada masyarakat,'' tambahnya.

0 comments: