Akhbar lama Utusan ada kesan darah jadi bukti kes

SHAH ALAM 23 Okt. – Senaskhah suratkhabar lama Utusan Malaysia yang mempunyai kesan darah dan kelongsong peluru adalah antara 13 barang kes yang diambil daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda, seorang pegawai polis pada perbicaraan kes bunuh Altantuya Shaariibuu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras, Supritendan Soo Mee Tong, 51, berkata, bahagian utama suratkhabar bertarikh 14 September 2006 itu didapati mempunyai kesan darah pada halaman pertama dan ketiga.

Menurutnya, kesan darah di sudut atas muka surat tiga suratkhabar itu telah dikoyakkan sedikit olehnya untuk dijalankan ujian darah menggunakan larutan Kastle-Mayer di makmal polis di Cheras.

“Keputusannya adalah positif (kesan darah) tetapi tidak tahu sama ada ia darah manusia atau haiwan,” katanya ketika menjawab soalan pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Rashid.

Perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia itu masuk hari ke-50 hari ini.

Pada peringkat awal keterangannya, Mee Tong berkata, beliau telah menerima panggilan telefon daripada pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Tonny Lunggan kira-kira pukul 10 malam, 8 November tahun lalu yang meminta bantuan pasukan siasatan tempat kejadian (CSI) untuk memeriksa sebuah kenderaan berkaitan Laporan Travers 7380/06.

Pemeriksaan tersebut, kata saksi pendakwa ke-42 itu, dilakukan olehnya pada pukul 10.30 pagi keesokan harinya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) bersama sepasukan anggota CSI.

Pasukan itu terdiri daripada Deputi Supritendan Abdul Aziz Abdul Majid, ASP Abdul Aziz Ahmad, Cif Inspektor Syed Faizul Shah Syed Husain Syah, Sarjan Ismail Abd. Rahman, Koperal Norjamiyah Abu Bakar, Koperal Mohammad Dali dan jurugambar polis, Lans Koperal Khairul Anuar Othman.

Menurutnya, kenderaan yang berada dalam keadaan berkunci sebelum diperiksa itu merupakan kenderaan pacuan empat roda (4x4) jenis Suzuki 1300 berwarna kelabu kebiru-biruan dan bernombor pendaftaran CAC 1883.

Mee Tong berkata, pemeriksaan dibahagikan tiga peringkat iaitu di bahagian luar kenderaan, bahagian hadapan dalam kenderaan termasuk di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan serta bahagian belakang sebelah dalam kenderaan (sebelah dalam tempat duduk belakang dan pintu belakang).

Di bahagian luar, katanya, mereka menemui ketulan tanah yang terlekat di kedua-dua tayar hadapan manakala lain-lain bahagian kenderaan adalah bersih termasuk kedua-dua tayar belakang.

“Di bahagian hadapan kereta iaitu tempat duduk pemandu dan tempat duduk penumpang hadapan, saya jumpa satu kad Smart Tag pada dashboard (papan muka) dan sehelai rambut di tempat duduk penumpang hadapan,” ujarnya.

Turut ditemui di bahagian ini, katanya, ialah kad Touch ‘n Go yang terlekat pada kad Smart Tag dan pembalut stereng kereta serta cukai jalan yang tamat tempoh pada 26 November 2006.

Menurutnya, satu kelongsong peluru 9mm SME06 pula ditemui di antara tempat duduk pemandu dan pintu pemandu.

Di bahagian dalam belakang kenderaan pula, kata Mee Tong, hanya ada satu tempat duduk di sebelah kiri manakala sebelah kanannya kosong dan hanya dipenuhi barang-barang lain.

“Di bahagian ini, iaitu di atas tempat letak kaki penumpang belakang, kami menemui sepasang selipar getah. Di ruang kosong pula kami menemui suratkhabar, alat-alat memancing dan kotak-kotak yang turut mengandungi alat-alat memancing.

“Di bahagian belakang berdekatan dengan pintu belakang, kami jumpa beberapa helai baju dan satu kotak warna putih bertulisan “PLANET T792” dan di atas baju dan kotak itu ada alat-alat memancing,” ujarnya.

Hasil pemeriksaan itu, katanya, beliau telah mengambil 13 barang untuk siasatan lanjut yang terdiri daripada ketulan tanah di pelapik (mud flap) tayar hadapan sebelah kiri, ketulan tanah pada sebelah dalam rim tayar sebelah hadapan kanan, pembalut stereng, kad Smart Tag dan kad Touch ‘n Go.

Yang lain ialah suratkhabar lama Harian Metro bertarikh 13 Oktober 2006, senaskhah akhbar lama Yellow Post bertarikh 13-19 Oktober 2006, senaskhah bahagian luar negara akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 September 2006 dan senaskhah bahagian utama akhbar Utusan Malaysia bertarikh sama yang mempunyai kesan darah.

Sepasang selipar yang dipercayai mempunyai kesan darah, kelongsong peluru 9mm, satu calitan peluh pada tempat pemegang tangan penumpang belakang dan sehelai rambut turut diambil untuk siasatan.

Jelas saksi tersebut, sampel tanah pada tayar diambil bagi tujuan perbandingan dengan tanah di tempat kejadian. Begitu juga kelongsong peluru diambil bagi tujuan yang sama jika ditemui kelongsong di tempat kejadian, ujar beliau.

Menurutnya, suratkhabar-suratkhabar lama itu pula diambil untuk menimbulkan cap jari dengan menggunakan larutan ninhydrin di makmal PDRM manakala kad Smart Tag dan kad Touch ‘n Go bagi tujuan siasatan lanjut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin bersambung esok.

0 comments: