BPR akan dakwa beberapa individu lagi

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 23 Okt. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan mendakwa beberapa individu lagi kerana terlibat dalam penyelewengan pembelian peralatan seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini, selepas kumpulan pertama seramai 10 orang didakwa hari ini.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, pada masa ini, pihaknya masih meneruskan siasatan dan meneliti beberapa lagi kes penyelewengan dan pecah amanah berasaskan laporan itu.

Beliau menegaskan, ini bukan kali pertama BPR bertindak berdasarkan laporan audit tersebut, malah ada tindakan diambil sebelum laporan berkenaan dikeluarkan.

“Setakat ini, kita keluarkan dahulu hasil siasatan membabitkan dua kementerian (Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) kepada semua.

“Kita juga menerima maklumat daripada pelbagai pihak termasuk orang awam dan kita akan ambil tindakan tetapi tidak adil untuk kita buat pernyataan umum (terhadap kementerian lain) kerana ada yang betul dan ada yang tidak betul,” katanya sambil meminta media memberikan masa kepada pihaknya untuk menyelesaikan siasatan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabatnya mengenai hasil siasatan membabitkan dua kementerian terbabit berasaskan kepada pendedahan laporan Ketua Audit Negara 2006.

Menurut Ahmad Said, siasatan yang dijalankan menjuruskan kepada tiga aspek kesalahan iaitu rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan dan pihaknya telah mengenal pasti wujudnya kesalahan-kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Selain itu, kata beliau, BPR turut mengenal pasti beberapa kelemahan dalam sistem dan prosedur jabatan terlibat dalam pengurusan dana awam yang membuka ruang dan peluang kepada penyelewengan yang merugikan kerajaan.

Ahmad Said berkata, selain itu, sekurang-kurangnya lima orang pegawai kanan KBS akan dicadangkan diambil tindakan tatatertib di bawah kesalahan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Perkara 4.2(g)(ii).

“Pegawai berkenaan telah dikenal pasti terlibat dalam mesyuarat berkaitan pembelian peralatan dan kelengkapan oleh kementerian kepada lapan buah IKBN di seluruh negara dengan harga yang tinggi hingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

“Hasil semakan BPR, mereka yang terlibat juga keluar negara tanpa kebenaran dan menerima keraian daripada kontraktor,” kata beliau.

Tambahnya, BPR juga masih meneruskan siasatan untuk membuktikan sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah dilakukan oleh mereka dan kes itu akan dirujuk kepada Peguam Negara setelah siasatan selesai.

Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara, beliau berkata, siasatan BPR juga mendapati wujudnya salah urus dana awam bagi kerja-kerja penyelenggaraan bangunan kerajaan di Pulau Pinang dan seorang juruteknik dicadang dikenakan tindakan tatatertib kerana didakwa membuat perakuan palsu ke atas kerja-kerja pembaikan tersebut yang belum sempurna sepenuhnya.

“Perakuan tersebut membolehkan kontraktor terlibat membuat tuntutan pembayaran daripada kerajaan dan BPR mencadangkan agar syarikat terbabit disenarai hitam,” kata beliau.

Mengenai siasatan ke atas beberapa pembelian peralatan kepada IKBN iaitu papan bancuh simen, kabin kontena, buku teknikal dan pen teknikal, beliau berkata, harga yang dibekalkan oleh syarikat terbabit adalah terlampau tinggi dan tidak munasabah.

“BPR sedang menyiasat untuk mengenal pasti salah laku jenayah terhadap mereka yang terlibat dan pelanggaran peraturan dan BPR mencadangkan untuk jabatan berkenaan mengambil tindakan tatatertib ke atas mereka yang terlibat,” katanya.

Bagi pembelian pakej komputer desktop dan perisian CADD dan pemutar skru Phillips, Ahmad Said berkata, siasatan mendapati pembelian peralatan tersebut adalah munasabah dengan mengambil kira kos tambahan yang ditanggung pembekal dan kos membawa masuk dari luar negara serta jaminan kualiti yang diberikan.

“BPR akan mencadangkan kepada kerajaan supaya menyenaraihitamkan syarikat pembekal terlibat dalam pembekalan peralatan kepada IKBN yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006,” katanya.

0 comments: