Belum buat keputusan lantik ketua hakim baru

IPOH 23 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara yang baru.

Menurut beliau, pada masa ini, perkara itu masih belum dibincangkan.

‘‘Saya tidak membincangkan perkara itu,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kedudukan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai Ketua Hakim Negara yang akan bersara wajib pada 31 Oktober ini.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan MSC Malaysia Cybercentre @Meru Raya di sini hari ini.

Ahmad Fairuz, 65, yang juga Hakim Mahkamah Persekutuan, sekarang sedang bercuti untuk menghabiskan baki cuti tahunannya sebanyak 100 hari dan beliau dijangka memulakan tugasnya Isnin ini.

Teka-teki mengenai pengganti beliau mula timbul sejak kebelakangan ini walaupun Utusan Malaysia difahamkan tiada arahan setakat ini supaya kamar beliau di Istana Kehakiman, Putrajaya dikosongkan.

Tempoh pemegangan jawatan dan persaraan Ketua Hakim Negara termaktub di bawah Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan.

0 comments: