Pegawai hak asasi PBB ke Myanmar

NEW YORK 23 Okt. – Junta tentera Myanmar bersetuju membenarkan lawatan kali pertama seumpamanya dalam tempoh empat tahun oleh Pegawai Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke negara itu.

Pengumuman itu menyusul selepas junta tentera menumpaskan tunjuk perasaan aman secara kekerasan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan mencetuskan kritikan antarabangsa.

Jurucakap PBB, Michele Montas berkata, junta tentera bersetuju dengan lawatan Paulo Sergio Pinheiro, pelapor khas mengenai hak asasi manusia PBB dan mencadangkan ia diadakan sebelum sidang kemuncak serantau di Singapura bulan depan.

Utusan khas PBB, Ibrahim Gambari juga dijadual kembali ke Myanmar bulan depan bagi meneruskan usaha diplomatik dan mengenakan tekanan ke atas junta tentera.

Hampir 3,000 orang ditangkap dan ditahan termasuk sami-sami Buddha dalam usaha junta tentera mematahkan gerakan menentang kerajaan oleh penyokong demokrasi.

Pinheiro pula tidak dibenarkan melawat Myanmar sejak 2003 dan junta tentera dilaporkan mencadangkan lawatan utusan khas hak asasi PBB itu dilakukan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN di Singapura pada November ini.

Menteri Luar Myanmar, Nyan Win turut mengesahkan dalam sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pada Jumaat lalu.

– AFP

0 comments: