Butiran Touch & Go berbeza tapi data tidak salah – Saksi

Oleh AMIRUDDIN HARUN, NORAZLITA MOHD. SIES dan NOOR AZMAH IBRAHIM

SHAH ALAM 23 Okt. – Walaupun terdapat perbezaan butiran dalam empat transaksi penggunaan kad Touch & Go milik Koperal Sirul Azhar Umar, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Lans Koperal Rohaniza Roslan, namun data yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini adalah betul.

Pengesahan tersebut dibuat oleh Pengatur cara (programmer) Komputer di Rangkaian Segar Sdn. Bhd., Mohd. Roslan Abd. Karim, 32, yang bertanggungjawab memprogram sistem berkenaan.

“Perbezaan ini dari segi cetakan semata-mata iaitu sebahagian dokumen tertera ‘am’ manakala sebahagian tidak tertera ‘am’ ataupun ‘pm’. Tetapi ia bukannya suatu error (kesilapan),” kata Mohd. Roslan setelah meneliti dan membuat perbandingan isi kandungannya.

Namun begitu, ‘masalah’ itu (perbezaan antara satu cetakan dengan yang lain) tidak mengganggu gugat sebarang data yang ada di dalam sistem, tegas beliau.

Perbezaan lain ialah terdapat dokumen antaranya, ada dokumen yang tertera entry plaza (plaza tol masuk) tetapi sebahagian pula hanya menggunakan kod nombor (bagi sesebuah plaza tol).

Disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengapakah boleh terjadi demikian, Mohd. Roslan memberitahu: “Ia adalah masalah komputer dan bukannya masalah sistem. Ini boleh terjadi, sewaktu saya membina sistem itu telah berlaku kesilapan pada masa (jam) maka masa (jam) yang tertera pada cetakan juga akan silap.”

Tun Abdul Majid bertanya lagi kepada saksi: “Adakah masalah ini akan menjejaskan data dalam sistem?”

Sekali lagi Mohd. Roslan menegaskan bahawa masalah tersebut tidak langsung menjejaskan data yang ada.

Mohd. Roslan ialah saksi pendakwa ke-41 dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Beliau memberikan keterangan berhubung perbezaan antara rekod transaksi penggunaan kad Touch ’n Go iaitu P29 (yang dicetak kali kedua) milik Rohaniza dengan ID 120 (dokumen asal yang difakskan kepada polis).

Dokumen tersebut sebelum ini telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan melalui Eksekutif Operasi, Rangkaian Segar Sdn. Bhd., Wan Abdullah Wan Ali, 30, setelah gagal mengesan dokumen asal di pejabatnya.

Pada prosiding 27 September lalu, pihak pendakwa terpaksa mengemukakan dokumen fotokopi sebagai bahan bukti kerana dokumen asal yang mengandungi transaksi penggunaan kad Touch ’n Go dan Smart Tag kepunyaan Koperal Sirul Azhar Umar dan Rohaniza tidak dijumpai.

Perbicaraan masuk hari ke-50 hari ini.

Dalam kes itu, Sirul Azhar, 36, dan Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, kedua-dua dari Unit Tindakan Khas (UTK), dituduh membunuh Altantuya, 28, di satu lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini di antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lepas.

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, pula dituduh bersubahat dengan mereka dalam pembunuhan itu.

Keterangan Mohd. Roslan menarik perhatian Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin apabila beliau turut mencelah dan bertanya beberapa soalan kepada saksi dalam usaha untuk memahami keterangan dan penerangan yang diberikan.

Mohd. Roslan kemudiannya disoal balas pula oleh peguam Hazman Ahmad berhubung perbezaan alamat pemegang kad Touch & Go yang dikeluarkan.

Saksi memberitahu, sebenarnya setiap pengguna diberi kuasa untuk mengemas kini dan mengubah alamat masing-masing.

Namun, kata Mohd. Roslan, dengan berdasarkan dokumen tersebut, beliau hanya boleh mengesahkan ia telah diubah tetapi tidak tahu siapakah yang mengubahnya.

Terdahulu, sebelum menjawab soalan yang diajukan, Mohd. Roslan kelihatan menyapu muka menggunakan kedua belah tangannya sambil tersenyum.

Menjawab satu soalan peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, saksi memberitahu bahawa setting (ketetapan) komputer sebenarnya tidak mengikut apa yang sepatutnya dikeluarkan.

Ditanya mengenai mengapakah di dalam dokumen tersebut terdapat butiran (data) misalnya terdapat plaza tol yang dipilih untuk dinamakan sedangkan sesetengah pula dipilih untuk tidak dinamakan.

Saksi menjawab ringkas: “Saya tidak tahu.”

Kamarul Hisham mencelah jawapan tersebut sambil berkata: “Hah! itulah jawapan yang saya mahu.”

Perbicaraan bersambung esok.

0 comments: