Perluas status MSC ikut kemampuan negeri: PM

Oleh Ridzuan Yop dan Shamsul Kamal Amarudin


PELAN PEMBANGUNAN: Abdullah bertanyakan sesuatu mengenai model MSC Malaysia Cybercentre@ Meru Raya kepada Ketua Pengarah Eksekutif PKNP, Datuk Samsudin Hashim (kanan) sambil diperhatikan (dari kiri) Tajol Rosli dan isterinya Datin Seri Kamariah Mokri, di Ipoh, semalam.

Kerajaan tidak pilih kasih maju teknologi maklumat, telekomunikasi

IPOH: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan akan memperluaskan Koridor Raya Multimedia (MSC) ke seluruh negara tanpa meminggirkan mana-mana negeri atau kawasan dalam usaha memajukan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah pilih kasih dalam agenda melaksanakan pembangunan ICT atau ketika penganugerahan status MSC kepada mana-mana kawasan dan negeri.

"Saya memberi jaminan kerajaan akan adil kepada semua pihak ketika membangunkan projek ICT dan pemberian status MSC.


"Bagaimanapun, negeri atau kawasan yang menerimanya perlu menunjukkan kecekapan dalam pentadbiran dan pengurusan serta mampu memenuhi kriteria diperlukan untuk status MSC," katanya berucap melancarkan MSC Malaysia Cybercentre@ Meru Raya, di Padang Ipoh di sini, semalam.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali.

Abdullah berkata, syarikat tempatan yang mendapat status MSC Malaysia kini mencecah lebih 1,900 syarikat dengan nilai eksport produk serta perkhidmatan berkaitan ICT mencapai RM2.7 bilion.

Beliau berkata, peluang pekerjaan yang ditawarkan di kawasan berstatus MSC Malaysia juga bertambah kepada lebih 50,000 pekerja dengan 90 peratus daripadanya adalah pekerjaan bernilai tinggi.

Sementara itu, Abdullah berkata, dasar K-Perak yang dibangunkan oleh Kerajaan Perak adalah satu pelan perancangan yang mampu melonjakkan Perak ke tahap negeri maju.

"Saya menganggap dasar K-Perak-2010 dan peluasan kawasan MSC Malaysia di Meru Raya sebagai inisiatif yang tepat pada masanya, selaras dengan tujuan utama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)," katanya.

Pada sidang media pada akhir lawatan dua hari ke Perak, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Russia yang menawarkan tempat untuk angkasawan kedua Malaysia ke angkasa lepas.

Abdullah berkata, kerajaan perlu menelitinya sebelum membuat sebarang keputusan muktamad, termasuk jika ada syarat tambahan.

Mengenai bonus kakitangan awam, Abdullah berkata beliau sudah membuat kenyataan mengenainya baru-baru ini, dan tiada penjelasan baru untuk dibuat.

0 comments: