Kes Nurin: Gadis baju merah dalam rakaman CCTV serah diri

Oleh Hardi Effendi Yaacob

Remaja berusia 15 tahun dibebas selepas polis ambil keterangan

KUALA LUMPUR: Gadis berbaju merah yang dilihat dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi penemuan beg sukan berisi mayat Nurin Jazlin Jazimin, 8, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, berkata gadis berusia 15 tahun itu dibebaskan selepas keterangannya direkodkan kerana siasatan tidak menunjukkan pembabitannya dalam kes berkenaan.

"Siasatan kita mendapati gadis itu bersama tiga lagi lelaki menaiki Perodua Kenari yang imej mereka dirakamkan di tempat kejadian tiada kaitan langsung dengan kes pembunuhan Nurin.


"Mengikut masa rakaman yang direkodkan, mereka tiba di tempat kejadian kira-kira sejam selepas beg berisi mayat Nurin Jazlin diletakkan di situ," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Nurin Jazlin, pelajar Tahun 2 Sekolah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang ketika ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, 20 Ogos lalu.

Mayatnya ditemui disumbat dalam beg sukan yang ditinggalkan berhampiran pejabat sebuah syarikat penerbitan di Taman Petaling Utama, 17 September lalu.


Wan berkata, gadis itu turut memaklumkan tidak terserempak dengan mana-mana lelaki bermotosikal ketika imej mereka dirakamkan di tempat kejadian, malah tidak melihat langsung beg berisi mayat.

"Polis berpuas hati dengan keterangannya dan tiga rakan lelakinya yang terlebih dulu menyerah diri.

"Mereka memang tiada kaitan dengan pembunuhan Nurin. Apa yang gadis itu dan tiga rakan lelakinya buat di situ, itu soal lain dan kita tidak mahu ambil tahu," katanya.

Berikutan pembebasan gadis dan rakan lelakinya itu, siasatan kes kini bertumpu kepada lelaki menaiki motosikal jenis Modenas Kriss 125, yang imejnya dirakam memunggah beg sukan berisi mayat dari motosikal ke tempat mayat Nurin dijumpai.

"Kita sedang berusaha mengesannya, termasuk mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal digunakannya. Kita berterima kasih kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang membantu meningkatkan kualiti rakaman CCTV itu.

"Kita bersikap optimis dan yakin misteri pembunuhan Nurin dapat diselesaikan, seterusnya membawa mereka yang bertanggungjawab melakukan kekejaman itu ke muka pengadilan," katanya.

Beliau turut meminta media menyiarkan semula lakaran wajah lelaki itu, termasuk rakaman CCTV yang memaparkan suspek membawa beg.

"Selepas media menyiarkan lakaran wajah suspek sebelum ini, polis menerima banyak maklumat," katanya.

Mengenai perkembangan siasatan penyebaran gambar bedah siasat Nurin Jazlin melalui internet, Wan berkata, beberapa individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

"Pelbagai peralatan, termasuk set komputer turut dirampas, dipercayai digunakan untuk menyebarkan gambar itu. Ini kes serius dan boleh mengganggu siasatan. Kita menjangka siasatan boleh selesai dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.

1 comments:

Janine said...

I don't ride motorcycles so I cannot differentiate between a Modenas Kriss or a Honda EX5 for example. However, I've been trying to make an effort to distinguishing them. I went online to http://www.modenas.com.my, but according to their website, they have a variety of Kriss motorcycles except Kriss 125. The varieties are:
KRISS II
KRISS 100
KRISS 100 E
KRISS 110 SE
KRISS 120
KRISS 120E/F 2008
KRISS 120H Sports
KRISS 120R Sports
KRISS I
KRISS SG
Please can you confirm exactly the model of the motorcycle used by this Nurin killer so that we can all be more alert and look out for it.