MSC Malaysia Cybercentre mula tarik pelabur


ABDULLAH Ahmad Badawi diberi penerangan mengenai model bandar Pusat Cyber @ Meru Raya oleh Datuk Samsudin Hashim (kanan) di Majlis Pelancaran MSC Malaysia Cybercentre Meru Raya Perak di Padang Ipoh, semalam.

IPOH 23 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, projek MSC Malaysia Cybercentre @ Meru Raya di sini telah berjaya menarik pelaburan besar dari dua buah syarikat yang berpangkalan di Dubai dan Amerika Syarikat.

Perdana Menteri berkata, syarikat dari Dubai telah bersetuju untuk membuat pelaburan bernilai RM700 juta manakala sebuah syarikat dari Amerika Syarikat pula mahu beroperasi di situ dengan menyediakan 20,000 peluang pekerjaan.

Justeru, katanya, projek itu bukan saja bakal membawa manfaat besar kepada Lembah Kinta tetapi juga menjadi pemangkin pembangunan bagi seluruh negeri Perak.

Katanya, projek berkenaan amat bermakna kerana sebelum ini terdapat segelintir pihak merungut selepas Lembah Kinta tidak dimasukkan dalam projek Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

‘‘Sebenarnya tempat lain pun tidak ada koridor tetapi saya sudah katakan tentulah kita akan bawa pembangunan lain ke Lembah Kinta.

‘‘Jadi MSC @ Cybercentre Meru Raya ini adalah satu-satunya projek yang akan jadi pemangkin kepada pembangunan seluruh negeri Perak,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas melancarkan MSC Malaysia Cybercentre @ Meru Raya di padang Ipoh di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, bidang teknologi maklumat (IT) memang menjadi faktor pemboleh bagi kerajaan menjana kemajuan dalam sektor lain.

Jelas beliau, kewujudan projek tersebut juga pasti banyak membantu kerajaan negeri membangunkan pelbagai bidang yang ada kaitan dengan dunia IT.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, kerajaan amat berterima kasih kepada Agensi Angkasa Persekutuan Rusia yang membuat tawaran kepada Malaysia untuk menghantar angkasawan kedua negara ke angkasa lepas pada penghujung tahun 2010 atau awal 2011.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, tawaran itu perlu dipertimbangkan dengan teliti sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan.

‘‘Saya tidak mengetahui apa maklumat khusus di sebalik tawaran itu, oleh kerana itu adalah amat penting kita mengkaji jika ada syarat lain atau perincian yang perlu kita lihat,” katanya.

0 comments: