Kes bunuh Altantuya: 13 bahan bukti diambil dari jip Sirul dianalisis

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

Sampel diuji bagi buat perbandingan bantu siasatan lanjut

SHAH ALAM: Tiga belas bahan bukti kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang diambil dari jip milik tertuduh kedua, Lans Koperal Sirul Azhar Umar, dianalisis di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mahkamah Tinggi diberitahu, semalam.

Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik PDRM Cheras, Superintendan Soo Me Tong, 51, berkata bahan bukti itu diambil beliau dan pasukannya iaitu Unit Siasatan Tempat Kejadian (CSI) ketika memeriksa jip Sirul Azhar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).


Soo berkata, bahan bukti itu termasuk dua ketulan tanah, pembalut stereng, Smart Tag berserta kad Touch n' Go, empat naskhah akhbar, sepasang selipar, kelongsong peluru, kesan peluh pada putik kapas dan sehelai rambut.

Beliau berkata, tujuan dua sampel ketulan tanah diambil daripada pelapik tayar hadapan sebelah kiri dan rim tayar hadapan sebelah kanan bagi ujian perbandingan dengan tanah di tempat kejadian di Puncak Alam.

"Kelongsong peluru berukuran sembilan milimeter yang dijumpai di antara tempat duduk pemandu dan pintu sebelahnya diambil bagi tujuan ujian perbandingan dengan mana-mana kelongsong peluru lain yang mungkin dijumpai di tempat kejadian.


"Kami turut mengambil pembalut stereng berwarna hitam dalam kenderaan itu untuk melakukan ujian perbandingan DNA bagi mengesan siapa yang memandu kenderaan itu dan Smart Tag serta kad Touch n' Go dirampas bagi siasatan lanjut.

"Kami juga menjalankan ujian terhadap akhbar Harian Metro bertarikh 13 Oktober 2006, akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 September 2006 dan akhbar Yellow Post bagi edisi 13 hingga 19 Oktober Oktober 2006.

"Pada akhbar Utusan Malaysia masing-masing pada bahagian utama dan luar negara, ada kesan darah dan selepas ujian dijalankan di makmal kami, ia didapati positif, bagaimanapun tidak dipastikan sama ada ia darah manusia atau haiwan," katanya.

Terdahulu, saksi ke-41 pendakwaan itu berkata, sebelum pemeriksaan dijalankan, beliau menerima panggilan telefon daripada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Tonny Anak Lunggan pada jam 10 malam, 8 November 2006, meminta pasukannya untuk memeriksa jip berkenaan.

Beliau berkata, CSI yang diketuainya bersama-sama seorang jurugambar ke IPKKL untuk memeriksa jip itu pada jam 10.30 pagi, keesokan harinya.

"Ia kenderaan pacuan empat roda jenis Suzuki 1300cc, warna kelabu kebiru-biruan dengan nombor pendaftaran CAC 1883. Tonny kemudian menyerahkan kunci jip dan saya buka kenderaan itu untuk diperiksa," katanya.

Ketika dirujuk dengan 51 keping gambar oleh Timbalan Pendakwa Raya Hanim Rashid, Soo mengakui semua itu adalah gambar jip Sirul Azhar yang diambil sebelum dan selepas pasukannya memeriksa kenderaan berkenaan.

Disoal Hanim, Soo berkata beliau membahagikan pemeriksaan jip kepada tiga peringkat iaitu pemeriksaan di luar kenderaan, kawasan depan dalam jip iaitu tempat duduk pemandu dan tempat duduk penumpang depan serta bahagian belakang.

"Ketika memeriksa bahagian luar jip, kami menemui ketulan tanah yang melekat pada pelapik tayar depan sebelah kiri dan ketulan tanah pada rim tayar depan sebelah kanan. Bagaimanapun bahagian luar kenderaan adalah bersih termasuk kedua-dua tayar belakang.

"Di bahagian dashboard, saya menemui Smart Tag berserta kad Touch n' Go, sehelai rambut di antara kusyen sandar dan tempat duduk penumpang depan serta satu kelongsong peluru di antara tempat duduk dan pintu depan pemandu.

"Saya juga menemui pembalut stereng serta cukai jalan yang tamat tempoh pada 26 November 2005.

"Di atas alas kaki penumpang belakang sebelah kiri kami menemui sepasang selipar getah dengan kesan darah (dipercayai milik Altantuya). Di sebelah kanan yang kosong, kami menemui alatan memancing dan kotak juga mengandungi alatan memancing, empat surat khabar di mana salah satunya mempunyai kesan darah.

"Kami juga mengambil kesan peluh daripada pemegang tangan bagi penumpang belakang," katanya.

Turut ditemui beberapa baju dan satu kotak warna putih bertulis 'PLANET T792', di mana diatasnya ada peralatan memancing berhampiran dengan pintu belakang.

0 comments: