Negara akan punyai satelit komunikasi sendiri

MOSCOW 23 Okt. – Malaysia akan membina serta melancarkan satelit komunikasi sendiri untuk kegunaan kerajaan bagi membangunkan ekonomi serta sistem pertahanan negara pada masa akan datang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis berkata, walaupun negara sudah mempunyai satelit komunikasi, ia dimiliki oleh pihak swasta iaitu Measat.

Untuk itu, jelasnya, dalam kerancakan dunia mengejar 'pengembaraan' bidang angkasa, negara memerlukan satelit komunikasi yang dibina dan dimiliki oleh kerajaan.

Menurut beliau, negara telah mempunyai kepakaran untuk membina satelit daripada jurutera tempatan yang kini bertugas di Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB).

“Namun, semua satelit yang dibina sebelum ini adalah berkaitan remote sensing. Kini kita perlu membina satelit komunikasi sendiri. Saya akan membawa perkara ini ke Kabinet untuk dibincang dan diluluskan.

“Pihak Rusia melalui pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Agensi Angkasa Lepas Rusia (Roskosmos) baru-baru ini, juga telah bersetuju untuk menawarkan bantuan kepada negara bagi membina satelit berkenaan,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jamaluddin berkata, kos untuk membina satelit komunikasi akan menggunakan peruntukan yang telah diluluskan oleh Kabinet sebelum ini.

“Kabinet telah meluluskan peruntukan untuk membina lima satelit remote sensing. Oleh itu, saya merasakan dengan pelancaran satu lagi satelit jenis itu iaitu RazakSAT, ia sudah memadai.

“Justeru, peruntukan sedia ada akan dipindahkan untuk digunakan bagi membina pula satelit komunikasi,'' jelasnya.

Kata beliau, pihaknya juga akan berbincang bersama Kementerian Pertahanan dan Polis Diraja Malaysia supaya satelit komunikasi itu nanti bukan hanya digunakan oleh kerajaan malah dimanfaatkan juga oleh pasukan keselamatan bagi tujuan pertahanan negara.

Ditanya sama ada Malaysia akan hanya bekerjasama dengan Rusia dalam pembinaan satelit komunikasi, beliau menjelaskan, negara akan turut menjalin kerjasama dengan negara-negara lain yang mempunyai kepakaran berhubung satelit berkenaan.

“Saya juga akan berbincang dengan Kabinet berhubung tawaran Rusia mengenai penglibatan negara dalam memasuki serta menggunakan Sistem Kedudukan Global (GPS) milik negara itu,'' katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, satu majlis keraian akan diadakan di ibu negara bagi menyambut kepulangan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang dijadualkan bulan depan.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah bersetuju untuk menerima kunjungan Sheikh Muszaphar di Seri Perdana, Putrajaya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

– Utusan

0 comments: