Kes Nurin: Gadis berbaju merah tampil

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Misteri wanita berbaju merah dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat mayat kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazimin, 8, ditemui, terjawab selepas wanita berkenaan tampil membantu siasatan polis, Sabtu lalu.

Polis kemudiannya mengambil keterangan daripada remaja perempuan berusia 15 tahun itu sebelum dia dibebaskan.

Gadis berkenaan tampil selepas tujuh hari tiga lelaki menaiki sebuah Perodua Kenari yang aksi mereka turut dirakam menerusi CCTV itu memberi kenyataan kepada polis pada 13 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata, wanita itu tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya.

‘‘Polis mengambil masa beberapa jam untuk merekod keterangan daripada wanita berkenaan dan polis berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan,’’ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Christopher memberitahu, hasil siasatan menunjukkan gadis berkenaan tampil kira-kira satu jam selepas beg yang berisi mayat Nurin Jazlin diletakkan di kaki lima sebuah bangunan kedai sederet di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini pada 16 September lalu.

Tegasnya, tumpuan polis kini adalah kepada usaha mengesan seorang lelaki yang mengangkat beg Diadora berisi mayat Nurin Jazlin dari raga motosikal sebelum meninggalkan beg itu di tepi tangga sebuah kedai di situ.

0 comments: