Angkasawan rindu mandi

Laporan A Halim Yusof di Moscow


SELAMAT MENDARAT: Keadaan Soyuz TMA-10 selepas mendarat 600km dari Arkylk, Kazakhstan, Ahad lalu.

Dr Sheikh Muszaphar teringat bau tanah, pokok selama 11 hari di ISS

ANGKASAWAN pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha gembira dapat kembali dengan selamat ke bumi kerana dapat melakukan pelbagai perkara, terutama mandi yang tidak dapat dilakukan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Meskipun mengakui menikmati setiap saat ketika menjalankan tugas sebagai krew dan menjalankan eksperimen sainstifik untuk saintis Malaysia, beliau tetap tidak dapat lupakan beberapa keselesaan ketika di bumi.

"Saya terlalu teringin untuk mandi, tapi tidak dapat lakukannya di ISS kerana air sangat terhad. Kini saya dapat lakukannya selepas pulang ke bumi," katanya pada sidang media di Star City, kira-kira 40km dari sini semalam.


Dr Sheikh Muszaphar bersama dua lagi krew Soyuz TMA-10 yang pulang ke bumi pada 21 Oktober lalu dikuarantin di Pusat Latihan Angkasawan Gagarin (GCTC), Star City sehingga kesihatan mereka pulih dan dapat menyesuaikan kembali dengan graviti bumi.

Angkasawan seperti Oleg Kotov (Komander Soyuz) dan Fyodor Yurchikhin yang berada sejak enam bulan lalu di ISS terdedah kepada masalah kesihatan kerana pendedahan lama kepada radiasi, manakala mikrograviti menyusutkan sel tulang mereka.

Selain mandi, Dr Sheikh Muszaphar berkata, beliau rindukan bau tanah, pokok dan bunga kerana semua yang berkenaan tiada di angkasa lepas.

DIPERIKSA: Dr Sheikh Muszaphar bersama Oleg Kotov (tengah) dan Fyodor Yurchikhin diberi rawatan sebaik saja mendarat.

"Berada di angkasa lepas adalah benar-benar satu pengalaman yang menakjubkan. Pertama kali melihat bumi dari angkasa lepas menyebabkan pandangan saya terpana, kerdipan mata terhenti dan jantung terasa seakan berhenti berdegup.

"Ia adalah mimpi yang menjadi kenyataan dan saya harap dapat pergi lagi ke sana," katanya yang kelihatan segar dan cepat melalui proses pemulihan.

Krew Soyuz TMA-10 yang melalui saat mencemaskan sebelum mendarat turut ditanyakan apa yang berlaku hingga menyebabkan komputer Soyuz mematikan sistem penurunan automatik dan beralih kepada penurunan balistik menyebabkan mereka menanggung tekanan graviti sehingga 8.9G.

Ia menyebabkan pendaratan Soyuz tersasar 600 km daripada tapak yang disasarkan di bandar Arkylk, Kazakhstan dan mendarat di kawasan gurun berhampiran bandar Baikonur.

Pada sidang media itu, krew Soyuz berkata, meskipun mod penurunan bertukar kepada balistik masih disiasat tetapi mereka sudah dilatih untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Meskipun melalui perjalanan pulang yang agak mencemaskan, kami semakin pulih dan tidak sabar untuk kembali bersama keluarga," kata Kotov, Komander Soyuz TMA-10.

Pada sidang media itu juga, angkasawan berkenaan didedahkan pelbagai maklumat seperti kemenangan 2-1 Russia kepada England dalam perlawanan kelayakan Euro 2008 baru-baru ini.

Dr Sheikh Muszaphar adalah angkasawan pertama Malaysia menjalankan misi di ISS. Penghantaran beliau yang membabitkan kos RM95 juta direalisasikan menerusi persetujuan timbal balas pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Russia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

0 comments: