Lebih suku juta warga California selamatkan diri -- Kebakaran tidak terkawal, lebih 700 rumah musnah


PASUKAN penyelamat telah menubuhkan kem pemindahan penduduk ketika kebakaran di San Diego semakin marak. – AFP.

LOS ANGELES 23 Okt. – Kebakaran hutan yang terus merebak tanpa terkawal di seluruh California semalam memaksa lebih 250,000 penduduk meninggalkan rumah mereka. Kebakaran itu juga mendorong pihak berkuasa mengerahkan tentera Amerika Syarikat (AS) untuk membantu anggota bomba yang keletihan.

Sehubungan itu, Presiden George W. Bush telah mengisytiharkan keadaan darurat di California untuk membolehkan kuasa diberikan kepada Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) untuk menyelaraskan segala usaha bantuan bencana di kawasan berkenaan.

Sekurang-kurangnya 13 kebakaran berlaku di seluruh selatan negeri ini dengan memaksa ribuan anggota bomba bertungkus-lumus untuk mengawal api yang telah memusnahkan lebih 700 buah rumah dan 100 premis perniagaan, menurut pegawai dan laporan media.

Seorang disahkan terbunuh, lebih 20 lagi cedera dan kawasan seluas kira-kira 1,000 kilometer persegi telah musnah dalam kebakaran yang merupakan antara terburuk dalam sejarah negeri ini.

Gabenor California, Arnold Schwarzenegger yang telah mengisytiharkan keadaan darurat di beberapa daerah menggambarkan krisis itu sebagai satu “tragedi” dan menyatakan Bush telah menawarkan bantuan kerajaan persekutuan.

“Sekarang ini tempoh yang tragik bagi California,” kata Schwarzenegger selepas meninjau saki-baki bangunan yang hangus di kawasan selebriti, Malibu.

Lewat semalam pejabat Gabenor mengumumkan, 1,500 askar pengawal kebangsaan dikerahkan untuk membantu anggota bomba.

Schwarzenegger juga telah meminta bantuan daripada Pentagon yang membenarkan penggunaan pesawat pemadam kebakaran.

Lewat malam tadi satu batalion terdiri daripada beberapa ribu anggota dengan bantuan 316 kereta bomba, 19 pesawat pemadam kebakaran, 15 jentolak dan lapan helikopter terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran di pelbagai lokasi itu.

Pihak berkuasa bomba mengakui mereka menghadapi masalah untuk mengawal kebakaran dan menjangka situasi menjadi bertambah buruk disebabkan tiupan kencang angin panas dari padang pasir ke seluruh kawasan itu minggu ini.

“Kebakaran yang merebak di seluruh California Selatan umpama ribut yang dahsyat,” kata penyelia bomba Daerah Los Angeles, Zev Yaroslavsky.

Beliau menyatakan kakitangan jabatan bomba dan penguatkuasaan undang-undang mengalami tekanan hampir di luar tahap munasabah kerana begitu banyak kebakaran berlaku serentak.

“Angin tidak menentu dan sukar diramalkan.

“Ke mana dan bila kebakaran akan merebak tidak dapat dipastikan,” ujar beliau.

Sherif Daerah San Diego melaporkan sejumlah 194,673 isu rumah telah dipindahkan di kawasan luar bandar di serata daerah itu.

Antara mereka yang dipindahkan ialah banduan penjara dan pesakit hospital, manakala beberapa sekolah juga ditutup.

– AFP

0 comments: