Benazir terima ancaman baru

KARACHI 23 Okt. – Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto hari ini menerima ancaman bunuh terbaru apabila seorang pegawai kanan mendedahkan bahawa sebenarnya terdapat dua orang pengebom berani mati terlibat dalam serangan bom yang meragut 139 nyawa minggu lalu.

Peguam kepada Benazir, Farooq Naik berkata, beliau menerima sepucuk surat tulisan tangan dalam bahasa Urdu daripada seorang lelaki tidak dikenali yang menyatakan dirinya sebagai rakan Al- Qaeda, Osama bin Laden dan ekstremis Pakistan serta mengugut untuk membunuh beliau “dengan apa jua cara.”

“Selepas insiden 18 Oktober lalu, tiada perkara yang boleh dipandang ringan,” kata Farooq lagi.

Polis pada awalnya menyatakan hanya seorang pengebom berani mati terlibat tetapi Gabenor wilayah Sindh, Ishrat Ul-Ebad Khan memberitahu “kemungkinan besar” terdapat dua pengebom berani mati selepas terdapat satu lagi kepala tanpa mayat kedua ditemui di hospital.

Perdana Menteri, Shaukat Aziz menolak permintaan Benazir yang mahu pakar dari Amerika Syarikat dan Britain dipanggil untuk membantu siasatan selain menyatakan keyakinan yang pesalah akan dibawa ke muka pengadilan.

Kebanyakan peguam hari ini turut memboikot mahkamah dan puluhan yang lain berarak di Lahore, bagi mengutuk serangan ke atas Benazir serta mendesak agar hukuman keras dijatuhkan ke atas mereka yang cuba membunuh beliau.

Malah, pegawai polis yang mengetuai siasatan terhadap kejadian pengeboman berkembar itu, Manzoor Mughal, dijangka digantikan dengan orang lain kerana Benazir menuduhnya sebagai terlibat dalam penghukuman ke atas suami beliau, Asif Zardari semasa menjadi tahanan politik pada 1999.

– Agensi

0 comments: