Muktamad tiada bonus – PM

IPOH 23 Okt. – Kerajaan tetap dengan pendiriannya untuk tidak memberi bonus kepada kakitangan awam pada tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, tiada perubahan dengan pendirian dan kenyataan yang dibuat berhubung perkara itu sebelum ini.

‘‘Tidak ada keputusan baru mengenai permintaan bonus kepada kakitangan awam yang diminta sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan MSC Malaysia Cybercentre @Meru Raya, Perak di sini hari ini.

Ditanya sama ada kerajaan mungkin memberikan sagu hati kepada kakitangan perkhidmatan awam sebagai ganti bonus, Abdullah juga enggan mengulas mengenai kemungkinan itu.

“Saya sudah cakap dulu dan saya sudah keluarkan kenyataan berkaitan dengan bonus. Tak payah cakap lagilah... cukuplah sekali,’’ tegas beliau.

Sebelum ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman meminta kakitangan awam terutama dalam kumpulan sokongan agar lebih berjimat cermat dan tidak sangat mengharapkan bonus.

Mereka dinasihatkan tidak menaruh harapan yang tinggi malah mesti berani menghadapi kenyataan bahawa tidak ada bonus diberikan tahun ini.

Bagaimanapun CUEPACS telah menghantar memorandum kepada kerajaan agar dipertimbangkan bayaran honorarium purata RM2,000 setiap kakitangan menjelang perayaan Aidilfitri lalu menggantikan bonus.

0 comments: