Wajib adu kes dera

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Guru sekolah, pegawai perubatan swasta dan penjaga di bawah kelolaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diwajibkan membuat aduan sekiranya terdapat kes penderaan terhadap kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihak berkenaan diwajibkan membuat laporan kepada polis atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekiranya mengetahui perkara tersebut.

Menurut Shahrizat, perkara itu dicadangkan dalam Pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 yang akan dikemukakan kepada Kabinet pada awal tahun depan selepas Akta Orang Kurang Upaya (OKU) dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Disember ini.

“Cadangan mewajibkan pihak tersebut membuat laporan berikutan ramai yang mengambil sikap ‘lepas tangan’ tentang kes penderaan terhadap kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada majlis sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan Ke-53 bertema Keselamatan dan Perlindungan Kanak-Kanak Keutamaan Kita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan ia dihadiri oleh lebih 2,000 kanak-kanak dari seluruh negara.

Pada majlis itu, Jeanne menyampaikan pingat Hang Tuah kepada Muhammad Zulfahmi Zuraidi dan dua penerima Anugerah Tunas Jaya iaitu Mohd. Nazmi M. Nordin dari Sekolah Kebangsaan Tok Sira, Kuantan, Pahang dan Nurul Afini Abdul Razak dari Sekolah Kebangsaan Puteri Seremban, Negeri Sembilan.

Zulfahmi adalah murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, Kuala Terengganu.

Kanak-kanak itu menerima pingat Hang Tuah setelah menyelamatkan dua adiknya yang terperangkap dalam bilik tidur apabila rumah mereka dijilat api dalam kejadian pada 17 Jun lalu.

Terdahulu ketika berucap di majlis itu, Shahrizat memberi amaran keras kepada ibu bapa yang cuai dan menjadikan anak-anak mereka sebagai mangsa penderaan akan dikenakan tindakan tegas.

‘‘Kita akan menggunakan akta ini dalam menangani kes penderaan ke atas kanak-kanak,’’ tegas beliau.

Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat kata Shahrizat, kes penderaan kanak-kanak agak membimbangkan dengan 1,656 kes yang dilaporkan pada 2004 meningkat kepada 1,800 kes (2005) dan 1,999 kes pada 2006.

Beliau menambah, kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang dilaporkan meliputi kes penderaan fizikal, seksual, emosi, sumbang mahram dan kes buang bayi.

Shahrizat berharap, pelaksanaan dasar tersebut dapat menjamin keselamatan kanak-kanak dalam semua keadaan seperti di taska, tadika, sekolah, hospital dan di institusi kebajikan.

0 comments: