Gabem sokong penuh wujud BPK

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menyokong penuh cadangan mewujudkan Badan Pencegah Ketirisan (BPK) kerana ketirisan dalam projek yang diberikan kepada bumiputera menjadi punca utama kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, masalah ketirisan juga menyebabkan penguasaan ekonomi orang Melayu merosot daripada 22 peratus kepada 18 peratus pada 2005.

Katanya, kewujudan BPK amat diperlukan terutamanya ketika pelbagai projek besar dirancang oleh kerajaan seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) bagi memastikan bumiputera mendapat manfaat sepenuhnya.

“Oleh itu, kewujudan BPK yang mempunyai kuasa bertindak adalah perlu, memandangkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) tidak mempunyai kakitangan mencukupi bagi memantau masalah ketirisan.

“Saya juga mencadangkan pihak daripada Gabem, Kementerian Kewangan dan EPU menganggotai BPK ini selain beberapa agensi dan kementerian lain,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan penubuhan BPK yang dikemukakan dalam Usul Ekonomi dan Pendidikan oleh Ketua UMNO Bahagian Lenggong, Perak, Datuk Saarani Mohamad pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Menurut Rahim, jawatankuasa pencegahan ketirisan Gabem yang ada sekarang tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sebaliknya sekadar menerima aduan dan seterusnya memanjangkan masalah itu kepada pihak berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan EPU.

Beliau menambah, jika Badan Pencegah Rasuah (BPR) bertanggungjawab mencegah rasuah, BPK pula mencegah ketirisan daripada terus berlaku.

Katanya, BPR lebih menumpukan pada jenayah sebaliknya BPK akan memantau dan membanteras ketirisan dalam projek kerajaan yang diberikan kepada syarikat dan usahawan bumiputera termasuk pemberian projek, kontrak, permit, lesen, konsesi, saham dan hartanah.

Rahim seterusnya menyarankan BPK diberi kuasa untuk mengakses dokumentasi serta maklumat terutamanya berkaitan pemegang jawatan strategik di sesebuah syarikat bagi memudahkan siasatan dan pemantauan tentang masalah ketirisan.

Tambah beliau, kuasa tersebut juga membolehkan siasatan dijalankan dengan lebih telus kerana ada aduan dibuat itu adalah palsu disebabkan perasaan dengki.

0 comments: