Jabatan Mufti Negara dikaji

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Jakim beri perhatian serius cadangan Puteri pada Perhimpunan Agung Umno

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) memberi perhatian serius sebarang usul yang dibahaskan di Perhimpunan Agung Umno 2007 termasuk cadangan penubuhan Jabatan Mufti Negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, berkata pihaknya akan meneliti setiap isu serta cadangan membabitkan hal ehwal agama Islam termasuk cadangan Puteri Umno itu sebelum dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam SeMalaysia (MKI) untuk diperhalusi.

"Setiap usul yang dibahaskan perwakilan adalah topik besar kerana ia adalah isu nasional, lebih-lebih lagi membabitkan hal agama dan sosial. Ia sememangnya diberi perhatian berat oleh Jakim.

"Kami akan teliti yang mana perlu dikemukakan melalui usul yang dibahaskan untuk persetujuan peringkat tertinggi MKI," katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan, di sini, semalam. Hadir sama, Pemangku Presiden Mubarak, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Kelmarin, Puteri Umno mencadangkan penubuhan Jabatan Mufti Negara yang bertindak sebagai pusat rujukan dan pembuat keputusan supaya wujud kesepakatan dalam hal berkaitan agama Islam.

Wakil Puteri Umno, Kama Noriah Ibrahim, juga memohon semua mufti bertindak proaktif dan bersatu dalam hal membabitkan kepentingan ummah.

Ditanya sama ada akan wujud konflik dalam pentadbiran operasi Jakim sekiranya Jabatan Mufti Negara diwujudkan, Wan Mohamad bagaimanapun enggan mengulas sebaliknya menyatakan perkara itu lebih berhak dijawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.

Selain itu, Wan Mohamad berkata, fungsi MKI bukan saja menjalankan tugas pada peringkat pusat supaya tidak ada perbezaan dan perselisihan dengan majlis agama Islam negeri malah menjadi forum tertinggi bagi membincang dan memutuskan masalah dasar mengenai urusan agama.

Sementara itu, ditanya mengenai isu gejala sosial di kalangan remaja terutama di kawasan kampung yang turut dibangkitkan ketika Perhimpunan Agung Umno itu, Wan Mohamad berkata, pendekatan dakwah lebih efektif digunakan berbanding penguat kuasaan undang-undang.

Katanya, ahli jawatankuasa kampung termasuk penghulu, imam dan kariah masjid perlu bersama berganding bahu membanteras gejala sosial menggunakan pendekatan dakwah termasuk ceramah agama dan sahsiah diri terutama kepada golongan remaja.

"Banyak pendekatan dakwah yang belum digunakan sepenuhnya... lebih baik kita mempelbagaikan pendekatan untuk memenangi hati golongan muda yang terbabit dengan gejala sosial ini.

"Cara dakwah lebih berkesan dan memberi impak yang lebih bermakna... penguat kuasaan undang-undang hanya sesuai untuk segelintir golongan yang degil dan melampau saja," katanya.

0 comments: