Perhimpunan haram beri persepsi negatif

PEKAN 10 Nov. – Kedegilan penganjur untuk mengadakan perhimpunan tanpa permit di ibu negara hari ini telah memberi persepsi negatif kepada pihak luar terhadap masyarakat negara ini, kata, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung membuka kesempatan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk terbabit dengan perilaku jenayah yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Saya difahamkan banyak pekedai berasa bimbang dan telah menutup kedai mereka kerana bila ada perhimpunan seperti ini sudah tentu ada juga mereka yang mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah atau pun merosakkan harta benda kepunyaan orang atau pun harta benda awam.

“Kesannya tidak baik kepada pandangan umum terhadap masyarakat kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Anak Permata Negara di Felda Chini Timur 3 di sini, hari ini.

Turut hadir, isterinya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Kira-kira 4,000 orang yang berkumpul menyertai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di perkarangan Dataran Merdeka hingga ke Masjid Jamek di sini hari ini dan mereka dileraikan polis dengan gas pemedih mata dan meriam air.

Perhimpunan itu diadakan kononnya untuk menuntut pilihan raya yang telus dan adil.

Menurut Najib, dalam kesibukan pihak berkenaan menuntut kebebasan menganjurkan perhimpunan, menjadi tanggungjawab kerajaan pula untuk mengutamakan keamanan, kestabilan dan kepentingan awam.

Justeru, polis tidak membenarkan perhimpunan tersebut diadakan kerana dalam suasana seperti itu apa-apa sahaja boleh terjadi.

“Ia banyak menyusahkan orang ramai serta menambahkan kebimbangan dari segi lalu lintas dan sebagainya,” tambahnya.

Ditanya siapakah dalang di sebalik penganjuran perhimpunan haram itu, beliau berkata, terserah kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya dan ia merupakan tanggungjawab pihak berkuasa berkenaan untuk menyelesaikannya.

0 comments: