Tingkat kualiti IPT tugas semua pihak: Abdullah



TANYA KHABAR: Abdullah dan Jeanne (terlindung) beramah mesra dengan bekas pelajar Cornell Universiti sambil diperhatikan Dr Mohd Yusop (kanan) ketika hadir pada Majlis Makan Malam anjuran Kelab Cornell Malaysia di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua pihak mengambil pelbagai langkah perlu untuk memperbaiki kedudukan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan supaya setaraf dengan IPT luar negara.

Beliau berkata, langkah itu selaras usaha kerajaan menarik lebih ramai pelajar asing melanjutkan pelajaran di negara ini.

"Sejajar dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan, kehadiran pelajar asing menuntut ke negara ini, perlu berasaskan kepada kualiti universiti tempatan dan bukan disebabkan kos pendidikan yang murah.


"Orang akan bertanya kalau kos murah ia mesti mempunyai kualiti. Kita tidak boleh terima universiti yang murah tetapi dengan kualiti yang rendah," katanya pada sesi soal jawab pada Majlis Makan Malam anjuran Kelab Cornell Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Presiden kelab berkenaan, Dr Mohd Yusop Ismail.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Kajian Reputasi Akademik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mendapati tiada satu pun antara 17 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini yang mencapai tahap terbilang atau bertaraf dunia.


Kajian MQA, yang dulunya dikenali Lembaga Akreditasi Negara (LAN), mendapati hanya Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencapai penilaian lima bintang iaitu dikategorikan sebagai cemerlang, sekali gus menduduki senarai teratas dari segi reputasi IPTA di negara ini.

Enam IPTA iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sekadar meraih empat bintang atau baik.

Selain itu, beliau berkata, USM pernah disenaraikan antara 100 universiti terbaik dunia tiga tahun lalu, bagaimanapun kini tiada satu IPT yang disenaraikan sebagai antara 200 universiti terbaik dunia.

Terdahulu, ketika berucap Abdullah berkata, Malaysia tidak seharusnya meragui keupayaannya untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan koridor yang sedang dibangunkan kerana negara ini mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kemahuan untuk menjayakannya.

"Kita (Malaysia) tidak seharusnya berasa malu atau gentar untuk menjalinkan kerjasama dengan negara jiran untuk faedah bersama, sebaliknya kita sepatutnya berasa malu kerana gagal menangani masalah kemiskinan serta kemunduran rakyat.

"Sebab itulah kita mesti membawa cahaya pembangunan ke setiap sudut negara ini dan ini adalah janji kerajaan kepada rakyat Malaysia," katanya.

Mengulas mengenai pelancaran koridor wilayah pembangunan di Sabah dan Sarawak, Abdullah berkata, ia bakal dilancarkan menjelang akhir tahun ini, namun setakat ini kerajaan masih belum mengenal pasti syarikat swasta atau agensi yang akan dilantik untuk membangunkannya.

0 comments: