Pendekatan koridor perkasa kekuatan sedia ada – PM

PUTRAJAYA 10 Nov. – Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, aspek penting perancangan dan pembangunan koridor wilayah oleh kerajaan adalah bagi memperkasakan kekuatan yang sedia ada.

“Misalnya, rancangan kami untuk pertumbuhan pusat satelit dalam pelbagai koridor tidak menimbulkan kekosongan. Sebaliknya, kami mengambil kira keupayaan negara yang sedia ada,” katanya pada majlis jamuan makan malam Kelab Cornell Malaysia di sini hari ini.

Dalam ucapan bertajuk The Regional Development Corridors: Impetus for Economic Growth, Investment Opportunities and Challenges for Implementation under the RMK9 and Beyond, Abdullah berkata, pendekatan secara wilayah juga diasaskan dalam konsep memperkasakan.

“Kami tidak berhasrat untuk memulakan inisiatif baru dari bawah. Sebaliknya, kami berhasrat membina keupayaan ekonomi yang sedia ada untuk meneroka bidang-bidang baru,” katanya.

“Misalnya, pembabitan singkat dalam biodiesel berasaskan kelapa sawit disandarkan kepada kedudukan kami sebagai kuasa besar dalam perladangan kelapa sawit dan pemprosesan. Satu lagi contoh ialah fokus terbaru kami dalam industri halal yang diperkasakan ke atas jalinan kukuh Malaysia dengan dunia Islam serta keupayaan kami dalam logistik global,” katanya.

Abdullah berkata, bagi Wilayah Pembangunan Iskandar, kerajaan bercadang menggunakan jarak berdekatan dengan Singapura sebagai pengaruh untuk membina metropolitan global baru di selatan Johor yang boleh menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

“Dalam hal ini, sebilangan pihak bimbang dan sangsi. Pada pendapat saya, kebimbangan ini tidak berasas.

“Kita tidak boleh terus gentar dengan keupayaan sendiri untuk menjayakan koridor pembangunan. Kami memiliki pengetahuan, kemahiran dan kemampuan untuk memastikan kejayaan,” katanya.

Abdullah berkata, rakyat Malaysia tidak perlu begitu bimbang atau malu untuk bekerja dengan negara jiran untuk faedah bersama.

“Kita seharusnya lebih malu jika kita tidak dapat membasmi kemiskinan dan kemunduran rakyat kita sendiri. Kami harus membawa cahaya pembangunan ke setiap sudut di Malaysia. Ini adalah jaminan kerajaan saya kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Abdullah berkata: “Masa depan tertera di depan kita semua dalam ufuk yang tidak seimbang. Tapi jangan buat kesilapan, perjalanan kita adalah jauh, curam dan sukar. Tetapi jika kita pegang kepada janji maka kita tidak mempunyai pilihan tetapi meneruskan janji-janji itu.”

Katanya, sudah tiba masa untuk pelaksanaan secara agresif dan tertumpu apabila wilayah-wilayah pembangunan bertapak dan berkembang dalam sedikit masa lagi.

“Kami mampu memberi hasil pembangunan kepada setiap rakyat Malaysia. Maka kemudian dapat mengubah wajah Malaysia,” katanya.

Menyentuh mengenai pembangunan, Abdullah berkata kebanyakan pembangunan di Malaysia tertumpu kepada pusat-pusat tradisional seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru dan kawasan ini telah dibangunkan dengan pesat.

“Dalam kajian yang bakal diterbitkan oleh Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) tidak lama lagi, kami mendapati kami menuju dengan pantas di mana kami boleh membuat perbandingan sama antara Kuala Lumpur dan Singapura,” jelasnya.

“Ini adalah pembangunan penting, bermaksud jika Kuala Lumpur dilihat sebagai bandar raya tersendiri seperti Singapura, KL kita sendiri merupakan negara membangun dalam acuan tersendiri,” katanya.

Abdullah berkata, ia juga bermaksud bagi Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020, ada keperluan untuk membawa Malaysia setanding dengan Kuala Lumpur.

Katanya pembangunan wilayah-wilayah juga bertujuan membina kekuatan sedia ada pada kawasan pertumbuhan tradisi seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Pada masa sama, wilayah-wilayah pembangunan itu akan turut menggalakkan kebangkitan pusat-pusat pertumbuhan baru termasuk Padang Besar dan Kulim di wilayah utara, Kuantan dan Kuala Terengganu wilayah pantai timur dan Nusajaya dan Senai di WPI. Kebangkitan pusat pertumbuhan satelit ini akan memastikan lebih luas pertumbuhan ekonomi dan oleh itu meningkatkan ekuiti,” katanya.

– Bernama

0 comments: