Faiz tidak digalak berkahwin sehingga 2011

Oleh: SUHANA ABDUL MUTALIB

SHAH ALAM 10 Nov. – Bakal angkasawan kedua negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed tidak digalakkan mendirikan rumah tangga sehingga misi penghantaran angkasawan kedua negara selesai pada tahun 2011.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, ia bertujuan memastikan beliau sentiasa dapat memberikan fokus pada setiap sesi latihan yang perlu diikutinya nanti.

Menurut beliau, ia bukanlah satu paksaan, tetapi berharap Faiz dapat mempertimbangkan perkara itu semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga.

“Angkasawan pertama negara (Dr. Sheikh Muszaphar Shukur) sudah mengumumkan akan berkahwin, jadi saya berharap Faiz belum mempunyai sebarang perancangan untuk berkahwin sehingga misinya selesai.

“Saya takut nanti jika dia (Faiz) berkahwin, dia sukar menjalani latihan kerana teringatkan isteri dan anak yang ditinggalkan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Sirim Bhd. di sini, hari ini.

Menurut Jamaluddin, kerajaan kini sudah hampir pasti menerima tawaran Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos) bagi misi kedua negara ke angkasa selewat-lewatnya pada tahun 2011.

Ujar beliau, pihaknya juga akan memulakan pencarian calon angkasawan ketiga negara secepat mungkin bagi membolehkan Faiz mempunyai rakan untuk menjalani latihan.

Tambah beliau, dua calon akhir misi pertama dahulu iaitu juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) Mohamed Faiz Kamaluddin, 34, dan jurutera yang juga calon wanita tunggal, S. Vanajah, 35, akan terus dimasukkan dalam senarai akhir pemilihan.

“Mungkin kali ini ada rezeki mereka, siapa tahu? Bagaimanapun, semua keputusan pemilihan akan dikendalikan oleh tenaga pakar dari Rusia dan Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat.

“Ini kerana, kita turut bercadang untuk menghantar Faiz dan calon angkasawan ketiga menjalani latihan di NASA. Mana tahu, mungkin kali ini angkasawan kita berpeluang berjalan pula di angkasa lepas,” katanya lagi.

Sementara itu, Jamaluddin berkata, pihaknya juga bercadang menjadikan tarikh 10 Oktober sebagai Hari Angkasa Malaysia sebagai memperingati tarikh Sheikh Muszaphar berlepas ke angkasa lepas.

Beliau berkata, pihaknya berharap dapat memuktamadkan pembelian kapal angkasa Soyuz yang membawa Sheikh Muszaphar ke angkasa bagi membolehkan ia diingati sebagai satu simbol kebanggaan negara.

“Kalau diterima cadangan tarikh ini (10 Oktober) kita akan adakan pelbagai aktiviti dan jika kita berjaya membeli kapal Soyuz, ia akan menjadi sesuatu yang lebih bermakna untuk masyarakat di Malaysia terutamanya generasi muda,” ujar beliau.

0 comments: