Nur Fatihah Athira menang dua emas ICAS

Oleh: HAMDAN TAWADI

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Convent (1) Bukit Nanas, Kuala Lumpur, Nur Fatihah Athira Muhamad, 10, mengharumkan nama sekolahnya apabila memenangi dua pingat emas pada International Competitions and Assessments for Schools (ICAS) 2007.

Dia memenangi pingat emas untuk subjek Matematik dan Sains pada ICAS yang disertai lebih 1.7 juta pelajar dari 10 negara yang dikendalikan oleh Universiti New South Wales (UNSW), Australia.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berazam untuk memenangi empat pingat emas dalam ICAS pada tahun hadapan.

Nur Fatihah adalah anak kepada seorang pengurus di sebuah syarikat swasta, Muhamad Hashim, 53, manakala ibunya, Sa’diah Shaaban, 54, guru sekolah menengah. Nur Fatihah bercita-cita menjadi seorang saintis.

Menurut Pengarah Penilaian Pendidikan Australia, Dr. Peter Knapp, secara keseluruhan, 103 daripada lebih 34,000 pelajar negara ini yang bertanding pada ICAS 2007 berjaya mendapat pingat emas.

Pingat-pingat emas itu disampaikan kepada para pemenang oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang di sini hari ini.

Menurut beliau, antara negara yang menyertai ICAS pada tahun ini adalah Australia, New Zealand, Singapura, China dan Hong Kong.

Tambahnya, soalan yang dikemukakan dalam ICAS adalah lebih mencabar kerana ia mengkehendaki para peserta memahami konsep berbanding peperiksaan konvensional yang lebih menjurus kepada hafalan.

Pada masa ini, ICAS yang diperkenalkan di negara ini sejak 10 tahun lepas hanya menawarkan empat subjek iaitu Kemahiran Komputer, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Subjek Kemahiran Komputer dihadkan kepada pelajar darjah tiga hingga tingkatan empat, manakala bagi subjek lain dilanjutkan hingga tingkatan enam atas.

Dalam pada itu, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Lelaki Methodist, Kuala Lumpur, Isaac Tay Shao An, 16, yang memenangi tiga pingat emas dalam ICSA menyatakan tahun ini adalah kali terakhir dia dibenarkan bertanding untuk subjek Kemahiran Komputer.

An juga aktif dalam kokurikulum di sekolahnya yang mana dia merupakan Pengerusi Persatuan Sains dan Matematik serta Naib Setiausaha Kelab Catur.

0 comments: