Pembangunan tersekat -- Jika subsidi meningkat lebih RM50 bilion setahun – Samy Vellu

Oleh: ABDUL RAZAK DIN

SUNGAI SIPUT 10 Nov. – Negara tidak akan dapat dibangunkan jika kos untuk subsidi melalui sistem yang dilaksanakan sekarang melebihi RM50 bilion setahun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kini pemberian subsidi telah mencapai RM40 bilion setahun dan jumlah itu begitu membebankan kerajaan.

“Saya sudah lihat akaun pemberian subsidi ini, ia sungguh besar dan kerajaan perlu berbuat sesuatu untuk mengurangkan bebanan ini dan mengkaji semuanya dengan teliti.

“Nasib baik kita ada Petronas yang membantu negara mengurangkan bebanan subsidi melalui keuntungannya. Jika tidak negara tidak boleh menjalankan program pembangunan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Merakyatkan Seni Budaya Parlimen Sungai Siput di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kerajaan akan memperhalusi cadangan untuk menstruktur semula sistem subsidi bagi memastikan bantuan itu diberikan kepada yang benar-benar layak.

Abdullah berkata, kerajaan kini membelanjakan kira-kira RM40 bilion untuk pemberian pelbagai subsidi meliputi minyak dan gas sebanyak RM35 bilion dan lima lagi komoditi.

Sementara itu, Samy Vellu berkata, kerajaan banyak memberi subsidi terutama apabila terdapat kenaikan harga petroleum di pasaran bagi mengurangkan tekanan harga kepada komoditi berkenaan yang sekali gus memberi kesan kepada pengguna.

“Kita banyak memberi subsidi kepada pengguna kereta, yang lain tidak berapa banyak,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan menstruktur semula sistem subsidi ini walaupun tindakan ini tidak mempopularkan kerajaan.

0 comments: