Demonstrasi jalanan menyusahkan rakyat

Oleh Ahmad Ghazali Musa


LAYAN TELATAH: Najib dan Rosmah melihat hasil seni yang ditunjukkan Mursyidi Abdul Rasid, 3, ketika melawat Pusat Anak Permata Negara selepas merasmikan pusat berkenaan di Felda Chini Timur 3, di Pekan, semalam.

Perhimpunan haram punca kesesakan, jejas peniaga: TPM

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak menyelar tindakan pihak yang menganjurkan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, di Kuala Lumpur, semalam kerana menyusahkan orang awam untuk menjalankan urusan harian.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ada pekedai terpaksa menutup perniagaan mereka kerana bimbang kemungkinan timbul suasana kurang menyenangkan.


Beliau berkata, orang ramai yang melalui laluan di situ juga terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas dan keadaan itu menyusahkan mereka menjalankan urusan harian.

Katanya, tindakan itu menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan melakukan jenayah, merosakkan harta benda awam dan kesannya tidak baik terhadap pandangan umum, termasuk negara luar.

"Dalam kita menyokong kebebasan bersuara tidak bermakna kita boleh membenarkan pihak mengambil kesempatan mewujudkan suasana kurang selesa. Kita utamakan keamanan dan sebab itu polis tidak benarkan perhimpunan itu.


"Kita serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Anak Permata Negara (PAPN) di Felda Chini Timur 3, di sini, semalam.

Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusoff Noor.

Najib berkata demikian ketika mengulas perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang berjaya dikawal berikutan tindakan proaktif dan kecekapan polis mengelak kejadian tidak diingini.

Sementara itu, pemimpin dan pelbagai pihak mengecam tindakan mengadakan perhimpunan haram itu yang disifatkan sengaja mencabar undang-undang.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata majoriti rakyat negara ini menghormati undang-undang negara ini, tetapi ada segelintir pengkhianat yang enggan berbuat begitu dan sengaja melakukan sesuatu mengikut kehendak mereka.

"Umumnya perhimpunan ini mahu mencabar undang-undang, membuat provokasi terhadap agensi penguat kuasa supaya mengambil tindakan dan nampaknya mereka nak salahkan kerajaan atas alasan tidak menghormati hak asasi, tak hormat nak buat perhimpunan," katanya.

Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahman, yang mengutuk demonstrasi itu berkata perhimpunan itu bukan budaya kita... anak muda jangan terpengaruh dengan sifat rakus pembangkang untuk menangguk di air keruh.

"Kita yakin itu kerja pembangkang, mereka ambil kesempatan. Rakyat perlu ambil iktibar apa berlaku di Myanmar, Pakistan akibat demonstrasi jalanan," katanya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman, memberi amaran kepada kakitangan kerajaan yang menyertai perhimpunan haram itu menanggung risiko dikenakan tindakan tatatertib.

Katanya, kakitangan kerajaan terikat dengan akujanji ditandatangani dan perlu patuh kepada peraturan, termasuk tidak menyertai kegiatan menyalahi undang-undang seperti menyertai perhimpunan haram.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad, berkata perhimpunan seumpama itu akan dieksploitasi oleh pihak yang tidak sukakan Malaysia untuk memburukkan negara dengan menggambarkan negara tidak stabil dan dalam keadaan huru-hara.

Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam, berkata sejarah menunjukkan parti pembangkang bukan sekadar menang dalam pilihan raya negara ini, malah berjaya menubuhkan kerajaan seperti di Kelantan dan Sabah.

"Saya hairan bagaimana mereka boleh kata Barisan Nasional (BN) menggunakan taktik kotor dalam pilihan raya. Jika BN tipu, mengapa BN boleh kalah dalam pilihan raya?," katanya.

Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Kiat, berkata mana-mana pihak boleh menyalurkan rasa tidak puas hati mengikut peraturan bukannya dengan mengadakan perhimpunan.

0 comments: