Seri Paduka ketuai cabaran kuda lasak

SETIU – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mendahului 40 peserta dari 13 negara dalam Kejohanan Berkuda Lasak Piala Sultan Terengganu 2007 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di sini, semalam.

Penunggang nombor satu dunia, Jack Begaud dari Perancis serta penunggang dunia nombor dua, Maria Mercedes Alvarez Ponton (Sepanyol), John Osborne Crandell III (Amerika Syarikat) dan Mercedes Tapia (Argentina) turut menghangatkan saingan bagi perlumbaan sejauh 160 kilometer berkenaan.

Selain mereka, seramai 17 lagi penunggang dari luar negara termasuk dari Brazil, Jepun, Itali, Belgium, Portugal, Qatar, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Afrika Selatan dan Australia juga memberikan persaingan dalam perlumbaan bertaraf antarabangsa itu.

Seramai 19 penunggang tempatan selain Tuanku Mizan turut bersaing bagi kejohanan itu termasuk pasukan Darul Iman Endurance Team yang terdiri daripada Datuk Awang Kamaruddin, Datuk Abdullah Taib, Ahmad Azura dan Azman Mat Ripin.

Perlumbaan yang dijangka memakan masa antara 10 hingga 12 jam itu dan berakhir kira-kira pukul 11.30 ini.

Pelepasan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Idris Jusoh pukul 4.30 petang, semalam.

Penganjuran Piala Sultan Terengganu 2007 merupakan sebahagian daripada persediaan untuk menganjurkan Kejohanan Kuda Lasak Dunia FEI 2008 di TIEP tahun depan.

0 comments: