Siti Salmah masih kritikal


SITI SALMAH JASNI.

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Siti Salmah Jasni, 18, yang menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru serentak 2 November lalu masih berada dalam keadaan kritikal.

Penyelaras Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Noor Salina Othman berkata, gadis itu masih berada di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Buat masa ini, itu sahaja yang boleh saya katakan, Siti Salmah masih kritikal dan masih dirawat di ICU.

“Kami akan membuat pengumuman rasmi tentang keadaannya tidak lama lagi,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Kisah Siti Salmah, pelajar Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai yang menunggu sumbangan jantung dan paru-paru dipaparkan dalam Utusan Malaysia Oktober lalu.

Sementara itu, bapanya, Jasni Zainal, 53, berharap orang ramai dapat sama-sama mendoakan agar Siti Salmah selamat.

Siti Salmah yang menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru selepas keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kedah setuju mendermakan organ wanita berkenaan.

0 comments: