Permata mungkin diperluas

PEKAN 10 Nov. – Kerajaan bersedia memperluaskan program Pusat Anak Permata Negara (Permata) jika ia mencapai matlamat untuk melahirkan generasi berintelek.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bagaimanapun perlu melihat dan menilai keberkesanan program tersebut secara objektif sebelum membuat sebarang keputusan.

Menurut beliau, ini kerana ia membabitkan pelbagai implikasi termasuk kemampuan kerajaan dari segi perjawatan dan latihan.

“Sekiranya program ini benar-benar mencapai tujuan dan matlamatnya, maka pada masa itu kerajaan akan menimbangkan kemungkinan program ini diperluaskan lagi.

“Tentu sekali bila kita perluaskan program ini ada banyak implikasi yang harus kita ambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Anak Permata Negara di Felda Chini Timur 3, di sini hari ini.

Menurut Najib, sejak program tersebut dijalankan enam bulan lalu, kesannya amat menggalakkan di mana perkembangan dari segi intelek, emosi, disiplin, kemampuan bertutur, hubungan sosial dan keceriaan kepada kanak-kanak terbabit.

Bagaimanapun, jelas Timbalan Perdana Menteri, kerajaan akan tetap mengambil kira implikasi iaitu sejauh mana kemampuan kerajaan untuk melaksanakan Permata termasuk sumbangan yang mungkin perlu dikenakan kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusat tersebut.

Mengulas mengenai kos program tersebut, Najib memberitahu, setiap pusat tersebut memerlukan anggaran perbelanjaan sebanyak RM200,000 hingga RM300,000 kerana tenaga pengajar di pusat berkenaan terdiri daripada guru-guru yang berkelulusan ijazah atau diploma.

Tambah beliau, kualiti tenaga pengajar merupakan faktor terpenting dari segi kejayaan program tersebut di mana setiap Permata memiliki nisbah 1:5 iaitu seorang guru menjaga lima kanak-kanak.

0 comments: