Dr Faiz dinasihat tangguh kahwin

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail




SHAH ALAM: Angkasawan kedua negara, Mejar Dr Faiz Khaleed (gambar) tidak digalakkan berkahwin untuk tempoh tiga hingga empat tahun akan datang sehingga selesai misi kedua ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang dijangka penghujung 2010 atau awal 2011.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata ia bagi memastikan Dr Faiz boleh memberi fokus sepenuhnya kepada latihan yang bakal dijalani di Russia dan Amerika Syarikat.

Beliau bagaimanapun berkata, ia bukan paksaan dan kerajaan tidak boleh menghalang jika Dr Faiz berhajat menamatkan zaman bujangnya sebelum misi kedua selesai.


"Angkasawan pertama negara (Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha) sudah mengumumkan akan berkahwin pada 2009, jadi saya berharap Faiz belum mempunyai sebarang perancangan untuk berkahwin sehingga misinya selesai.

"Saya takut nanti jika dia berkahwin, dia sukar nak menjalani latihan teringatkan isteri dan anak yang ditinggalkan di Malaysia," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri dan Deepavali kementeriannya di Sirim Berhad di sini, semalam.

Agensi Angkasa Russia (Roscosmos) membuat tawaran kepada Malaysia untuk menghantar angkasawan kedua menjalankan misi di ISS.

Agensi itu bagaimanapun meminta Malaysia membuat pengesahan sama ada menerima atau menolak tawaran itu menjelang penghujung 2009.

Jamaludin berkata, untuk misi kedua, Malaysia akan turut mengadakan kerjasama dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) untuk membolehkan Dr Faiz dan krew kedua berlatih di Amerika Syarikat selain di Russia.

Katanya, jawatankuasa pemilihan bagi memilih krew kedua akan diadakan tahun depan turut mengguna pakai input disediakan pihak Nasa.

0 comments: