Tindakan roboh kuil di Rimba Jaya sah

Oleh AU YEONG HOW

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) merobohkan kuil Hindu di Rimba Jaya, Shah Alam baru-baru ini adalah sah mengikut peraturan di bawah Kanun Tanah Negara selepas mendapat permintaan daripada pemilik tanah terbabit.

Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, kerajaan negeri telah memberikan tempoh selama tiga tahun kepada pemilik kuil itu untuk berpindah.

“Pemaju tanah juga telah sanggup membayar ganti rugi yang mungkin ada, untuk pemindahan kuil itu.

“Malangnya, pihak pembangkang mempengaruhi penganut Hindu dari luar supaya datang berkumpul di kuil itu sehingga sami kuil itu sendiri tidak boleh masuk ke kuil pada hari ini,’’ kata sekretariat itu.

Menurut kenyataan itu, pihak berkepentingan politik terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyebarkan maklumat tidak betul menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya, pihak terbabit turut menghasut penganut-penganut Hindu di negara ini untuk bertindak tanpa mengikut peraturan.

“Tanah setinggan Rimba Jaya bukanlah milik kerajaan negeri seperti yang didakwa. Sebaliknya, ia dimiliki sebuah syarikat swasta yang kemudiannya bankrap dan diletakkan di bawah Danaharta,’’ jelasnya.

Kenyataan itu menyebut, Danaharta seterusnya membenarkan satu syarikat baru mengambil alih tanah itu.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri menegaskan kawasan itu tidak boleh dimajukan selagi pemaju gagal membina rumah kos rendah dengan subsidi RM7,000 sebuah atau sekeluarga.

“Selain itu, tapak untuk surau dan kuil perlu disediakan secara percuma dan sah kepada penduduk setinggan tersebut,’’ tambahnya.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata di Klang malam tadi, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pengendali kuil yang dibina secara haram di atas tanah kerajaan di seluruh negara bagi mencari penyelesaian terbaik sekiranya ia dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau memberitahu para pemberita di Klang, semalam, pertemuan yang akan diadakan dalam tempoh sebulan itu bertujuan mengelakkan timbul salah faham kaum India yang menyalahkan kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) ekoran tindakan tersebut.

0 comments: