Pentadbir kuil diminta selesai isu cara baik

KLANG: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mahu menemui pentadbir kuil sementara di seluruh negara yang dibina atas tanah kerajaan bagi berbincang dan mencari penyelesaian terbaik jika kuil itu terpaksa dirobohkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, perbincangan yang dirancang dalam tempoh sebulan ini perlu bagi mengelak timbul salah faham di kalangan masyarakat India terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila kuil yang dibina secara haram itu dirobohkan.

Katanya, sebagai pemimpin masyarakat India, beliau bertanggung jawab terhadap kuil dan sebarang usaha untuk merobohkan rumah ibadat penganut Hindu itu perlu dibincangkan dengannya terlebih dulu.

"Saya telah tegaskan kepada Kabinet, Perdana Menteri, Menteri Besar dan PBT, saya perlu dibabitkan jika mahu bertindak terhadap kuil pada masa depan.

"Kita semua bernaung di bawah kerajaan BN, jika seorang sakit perut bermakna semua akan sakit perut," katanya selepas merasmikan Malam Kebudayaan Pesta Deepavali 2007 di Jalan Tengku Kelana atau Little India di sini, malam kelmarin.

Sebelum itu, beliau melakukan tinjauan harga dan melawat kedai sekitar jalan itu lebih dua jam selain beramah mesra dengan peniaga. Turut serta, Naib Presiden MIC yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk S Veerasingam.

Samy Vellu berkata, beliau dan masyarakat India kecewa dengan tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merobohkan kuil di perkampungan setinggan Rimba Jaya, minggu lalu.

"Saya tahu ramai masyarakat India tidak puas hati dengan tindakan ini. Saya pun tidak puas hati tetapi kita mesti tahu bagaimana untuk berurusan dengan kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Minggu lalu, MBSA merobohkan sebuah kuil di Rimba Jaya bagi memberi laluan kepada pemaju membangunkan kawasan itu dengan projek perumahan lebih moden, selesa dan dilengkapi pelbagai kemudahan asas.

Sebagai ganti, pemaju diminta menyediakan tapak untuk dibina kuil baru yang hanya terletak kira-kira 200 meter dari tapak lama. MBSA juga akan membina jalan masuk ke kuil itu secara berperingkat.

Ketika berucap, Samy Vellu berterima kasih kepada PBT yang membuka peluang kepada masyarakat India untuk berniaga apabila mengeluarkan banyak lesen kepada peniaga kecil India.

Beliau meminta masyarakat India tidak mudah percaya dengan tuduhan pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa kerajaan BN tidak mengambil berat kebajikan kaum India di negara ini.

0 comments: