Peluang Malaysia kian tipis beraksi di Piala Dunia

Oleh Mohd Fadzrie Hazis

HARAPAN Malaysia untuk mencari tempat di pusingan kelayakan Piala Dunia selepas ini mungkin tampak sukar apabila Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Datuk Sepp Blatter menyuarakan sokongannya terhadap format baru pusingan kelayakan Zon Asia.

Jika dulu pusingan pertama kelayakan Piala Dunia diadakan secara liga berkumpulan, tetapi kini ia diadakan menerusi satu perlawanan timbal balik dan pasukan terbaik Asia seperti Iran, Jepun dan Korea akan hanya terbabit pada peringkat akhir pusingan kelayakan.

Ranking Malaysia dalam senarai dunia Fifa pada 166 – kedudukan terburuk negara sejak sistem ranking diperkenalkan pada 1993 – bakal menyaksikan pasukan negara sentiasa diundi bertemu pasukan terbaik Asia, jika terus kekal dalam kelompok itu, sekali gus menyukarkan hasrat mara ke pusingan kedua kelayakan.

Situasi di Asia jelas berbeza dengan Amerika Selatan di mana negara yang dulunya dianggap pasukan belasahan seperti Ecuador dan Venezuela kini sudah mampu layak ke Piala Dunia dan juga bersaing dengan pasukan handalan lain benua itu di peringkat Copa Amerika.

"Memang kaedah pusingan kelayakan kini kurang memberi pendedahan kepada pasukan di ranking bawahan, dan ia memberi kelebihan kepada pasukan-pasukan terbaik Asia.

"Tetapi, saya percaya ia adalah kaedah terbaik. Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) mencadangkan kepada Fifa mengenai format baru ini, dan kami meluluskannya kerana ia lebih mudah diuruskan memandangkan Asia sebuah benua yang besar.

"Kita tidak boleh menyamakan Asia dengan benua lain yang lebih kecil saiznya, namun AFC sudah mengadakan Kejohanan Piala Presiden AFC untuk negara-negara membangun yang dapat memberi pendedahan saingan antarabangsa kepada mereka," kata Blatter ketika ditemui pada pertemuan khas dengan media di Rumah AFC semalam.

Sementara itu Blatter turut menyuarakan ketegasan badan induk bola sepak dunia itu berhubung campur tangan kerajaan dalam pentadbiran persatuan bola sepak kebangsaan.

Selepas Kuwait yang digantung keahlian kerana pembabitan kerajaan, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) kini dalam perhatian Fifa berikutan kaitan parti politik berpengaruh, Golkar dalam pelantikan Nurdin Halid sebagai presiden April lalu, tindakan yang melanggar ketetapan Fifa mengenai campur tangan kerajaan.

PSSI kini dituntut untuk mengadakan semula pilihan raya bagi melantik pemimpin baru.

"PSSI harus akur dengan peraturan Fifa dan jika gagal, mereka bakal dikenakan hukuman pengantungan. Kami sudah merangka pelan buat mereka dan wajar jika mereka mengikutinya," katanya yang berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Majlis Anugerah Bola Sepak Wanita AFC yang diadakan buat kali pertama semalam.

0 comments: