Aishah penerima kedua Mutiara Pertiwi



JASA DIHARGAI: Aisyah dikelilingi ahli Puteri menunjukkan trofi selepas dipilih penerima kedua Anugerah Mutiara Pertiwi sempena persidangan Puteri Umno, di PWTC, semalam.

VETERAN Umno yang juga Pengerusi Tetap Wanita Umno, Tan Sri Aishah Ghani dipilih penerima kedua Anugerah Mutiara Pertiwi sempena persidangan Puteri Umno, semalam.

Aishah, 84, dipilih berikutan sumbangannya kepada politik negara terutama ketika memegang jawatan Menteri Kebajikan Masyarakat selama 11 tahun sejak 1973.

Beliau yang terharu dengan pemilihan itu, menganggap pengorbanannya selama ini adalah untuk memartabatkan bangsa dan negara.


"Kita dulu terpaksa menubuhkan sendiri cawangan dan bahagian serta memastikan mereka bergerak menjadi nadi parti. Ahli Umno hari ini sangat bertuah kerana semuanya sudah kukuh. Apa yang diperlukan ialah meneruskan perjuangan parti ini terus gemilang," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan itu.

Beliau menerima trofi dan sekalung mutiara daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad serta barisan kepemimpinan Puteri.

Penerima Anugerah Mutiara Pertiwi pertama ialah Tun Fatimah Hashim.

Aishah yang kini banyak menggunakan bantuan kerusi roda untuk bergerak menasihatkan Puteri Umno berjuang demi parti, bangsa dan negara tanpa sebarang agenda sendiri.

"Ahli Puteri sudah mempunyai asas dan pengalaman. Justeru, saya berharap mereka akan meneruskan perjuangan dalam Wanita Umno supaya parti mempunyai kesinambungan kepemimpinan bagi memantapkan lagi parti," katanya.

Sebelum dilantik Menteri Kebajikan Masyarakat, Aishah dipilih sebagai Ketua Wanita Umno sejak 1972 selama 12 tahun.

Ketika menyandang jawatan Menteri beliau melancarkan Yayasan Kebajikan Negara. Beliau juga pernah mewakili negara ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (1961-1971), Jawatankuasa Perpaduan Rakyat Afro-Asia di Algeria dan Seminar Wanita Asia di Berlin.

0 comments: