Kes bunuh Altantuya: Kelongsong senjata sama: Saksi

Oleh Norhashimah Mohd Radzali

Analisis karekteristik dapati bekas peluru ditemui dalam jpi daripada sub mesingan jenis MP5

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam, diberitahu walaupun ujian selanjutnya pada sub mesingan jenis MP5 tidak dibuat, hasil analisis karekteristik yang diperoleh tetap menunjukkan satu kelongsong peluru yang ditemui dalam jip tertuduh kedua kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Koperal Sirul Azhar Umar, adalah ditembak daripada senjata sama.

Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alatan Seksyen Jenayah, Bahagian Forensik Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Shaari Desa, 40, berkata beliau tidak melakukan ujian selanjutnya ke atas firing pin (pin peletup) dan primer cap pada senjata berkenaan.

Menjawab soalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin dalam pemeriksaan semula, Shaari berkata, walaupun ujian selanjutnya tidak dibuat, tetapi daripada hasil analisis uji tembak dilakukannya, beliau mendapati satu kelongsong peluru itu adalah ditembak daripada senjata sama.


Saksi ke-40 pada hari ke-55 perbicaraan kes pembunuhan Altantuya itu berkata, tanda karekteristik (garis alur) pada kelongsong peluru iaitu tanda yang dihasilkan dari ejector, extractor dan breech face senjata api itu membuktikan ia ditembak daripada senjata yang sama.

(Kelmarin, Shaari dalam keterangannya berkata, selepas membuat perbandingan menggunakan alat mikroskop bandingan, beliau mendapati tanda karekteristik pada satu kelongsong peluru itu sama dengan lima kelongsong peluru dalam uji tembak dilakukannya)

Disoal Noorin, Shaari berkata, beliau tidak melakukan ujian berkenaan kerana setiap kelongsong peluru mempunyai firing pin atau firing cap yang dihasilkan daripada bahan yang tidak sama tahap kekerasannya.


Beliau berkata, disebabkan itu apabila firing pin mengetuk primer cap, kedalaman kesan ketukan akan bergantung kepada jenis bahan yang membuat ataupun kekerasan primer cap itu.

"Jika primer cap dibuat daripada bahan atau logam yang lembut, kesan ketukan akan menjadi lebih dalam dan permukaannya lebih luas, berbanding dengan primer cap yang dibuat dari bahan lebih keras.

"Kedua, firing pin yang tidak dipasang bersama pengetuk akan berpusing dan berubah kedudukannya sedikit setiap kali tembakan dilepaskan. Atas sebab itu saya tidak gunakan firing pin sebagai salah satu daripada pemeriksaan yang saya lakukan.

"Analisis saya adalah berdasarkan penglihatan yang saya buat melalui mata dan dibantu oleh mikroskop serta bukannya pengiraan matematik semata-mata," katanya.

Shaari berkata, beliau pernah menguji 10 sub mesingan jenis MP5 dalam kes lain sebelum ini dan rekod serta data mengenai semua senjata itu ada disimpan di pejabatnya.

Beliau bagaimanapun menyatakan tidak membuat perbandingan daripada rekod dan data yang diperolehnya dengan kes ini.

Noorin: Kamu tidak setuju ketika disoal balas peguam bela, bahawa kamu hanya hadkan ujian dan kaedah untuk bahan letupan terhadap sampel yang diberikan oleh pihak polis saja.

Shaari: Saya tidak hadkan ujian itu. Saya ada buat screening test untuk mengesan bahan letupan lain selain daripada pentaerythritol tetranitrate (PETN) dan cyclotrimethylene trinitramine (RDX) yang dikesan pada bahan bukti.

Noorin: Dalam kes ini, screening test yang dijalankan tidak menunjukkan kewujudan bahan letupan lain?

Shaari: Ya.

Noorin: Berhubung karekteristik yang boleh berubah kerana faktor senjata sudah lama atau kerap digunakan. Dalam kes ini, ada atau tidak kamu dapat mengesannya?

Shaari: Pemeriksaan saya untuk kes ini merujuk kepada karekteristik yang jelas dan nampak di bawah mikroskop dan tidak merujuk kepada kesan haus pada senjata berkenaan kerana tembakan yang berulang kali dilakukan terhadap lima peluru diuji tembak, tanda karekteristik utamanya jelas dan sama.

Sementara itu saksi ke-49, Juruanalisa Kanan Digital Forensik di Cyber Sequrity Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai NISER), Mohd Zabri Aidil bin Talib, 28, berkata pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan (ASP) Tonny Anak Lunggan bersama pembantu Pengurusan Plus Expressway Bhd, Mohd Bahir Dal (Saksi-36) menemui beliau di pejabatnya pada jam 5 petang, 11 Jun tahun ini.

Mohd Zabri berkata, tujuan mereka menemuinya adalah untuk meminta pihak makmal digital forensik membuat membuat analisa terhadap rakaman litar tertutup (CCTV) di laluan plaza tol Kota Damansara.

Beliau berkata, ASP Tonny mengemukakan satu pita video High REV Storage Media kepadanya, bagaimanapun pita itu tidak dapat dimainkan kerana beliau tidak mempunyai perisian yang sesuai.

"Saya minta Bahir membawa perisian aplikasi iaitu 'Multiview' yang digunakan Plus kerana pita ini dirakam oleh CCTV Plus. Sementara menunggu perisian itu dihantar, saya membuat salinan imej bagi pita itu bagi tujuan analisa kerana kami tidak pernah melakukan analisa terhadap pita atau bahan asal.

"Kami tidak membuat analisis terhadap pita atau bahan asal kerana ingin meminimumkan risiko kerosakan pada bahan bukti berkenaan," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah dalam pemeriksaan utama.

Mohd Zabri berkata, Bahir datang menemui beliau pada keesokan harinya dengan membawa bersama perisian 'Multiview' dan selepas ia dimasukkan ke dalam komputer, salinan pita rakaman kemudian dapat dimainkan.

"Saya membuat rakaman semula menggunakan perisian videofocus iaitu sejenis perisian video forensik yang menghasilkan gambar pegun (still image) beresolusi tinggi daripada rakaman video.

"Dari gambar yang bergerak, kami akan hentikan ia dan mengambil gambar imej yang dihentikan itu," katanya.

Tun Abdul Majid: Adakah itu saja peranan video focus ini?

Mohd Zabri: Ya. Jika proses biasa digunakan, ia tidak akan menghasilkan gambar beresolusi tinggi. Perisian ini akan menggabungkan data dari tujuh frame rakaman video itu menjadi satu gambar yang akan menjadikannya lebih jelas dan beresolusi tinggi.

Tun Abdul Majid: Adakah kamu menganalisis keseluruhan rakaman itu?

Mohd Zabri: Tidak. Saya hanya membuat analisis berdasarkan maklumat yang diberikan oleh ASP Tonny dan Bahir iaitu masa dan tarikh yang direkod sistem Touch n' Go ketika kenderaan melalui plaza tol.

Tun Abdul Majid: Adakah kamu diberitahu mengenai kenderaan apa?

Mohd Zabri: Ada. Kenderaan pacuan empat roda iaitu jip Suzuki dengan nombor pendaftaran CAC 1883.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.

0 comments: