Dewan Rakyat: Tiada hak arah henti siasatan

Peguam Negara hanya boleh minta BPR tidak terus kes tiada unsur rasuah: Nazri

KUALA LUMPUR: Peguam Negara tidak berhak mengeluarkan arahan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) menghentikan siasatan kes yang mempunyai unsur rasuah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Katanya, Peguam Negara hanya boleh mengarahkan BPR menyiasat atau tidak dalam kes yang tidak membabitkan unsur rasuah.

"Saya percaya Peguam Negara memahami tugasnya iaitu hanya membuat keputusan sama ada untuk mendakwa atau pun tidak.

"Dalam kes membabitkan unsur rasuah, dia tidak berhak mengarahkan BPR menghentikan siasatan, dia hanya boleh buat keputusan sama ada untuk mendakwa atau pun tidak," katanya ketika menggulung pebahasan mengenai Rang Undang-undang Perbekalan 2008 di Dewan Rakyat di sini semalam.

Menjawab isu yang dibangkitkan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh), Mohamed Nazri berkata hanya BPR berhak menyiasat dan sekiranya mendapati tiada unsur rasuah dalam kes itu, badan itu sendiri berhak menentukan kes itu ditutup, dan bukan menerima arahan Peguam Negara.

Berhubung dakwaan kononnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terbabit menerima suapan RM2.1 juta bagi melepaskan sekumpulan gengster, beliau berkata siasatan BPR mendapati tiada unsur rasuah.

"Siasatan ke atas Musa sudahpun pun selesai. Perkara itu tidak mengandungi unsur rasuah dan tidak dibentangkan kepada Peguam Negara. Kalau ada kes sudah tentu datang ke Peguam Negara dan selepas melihatnya, beliau akan pertimbangkan sama ada nak dakwa atau tidak," katanya.

Menjelaskan isu siasatan BPR terhadap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom yang memakan masa lebih lama daripada siasatan kes Ketua Polis Negara, beliau berkata ia bergantung kepada kes dilaporkan.

"Ini bukan 'cincai' tapi bila laporan dan siasatan yang dijalankan kepada individu tertentu, untuk memastikan sama ada mereka terlibat atau tidak, perlu ambil masa tertentu," katanya. � Bernama

0 comments: