Ahmad Said enggan ulas kes Musa Aman

KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan, enggan memberi kenyataan berhubung penutupan kes membabitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Ahmad Said yang ditemui selepas menghadiri Forum Ehwal Islam di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, malam kelmarin, enggan ditemu bual wartawan yang menunggu sejak jam 8 malam sehingga selesai kira-kira jam 12 tengah malam.

"Tak apalah. Tak payahlah (beri ulasan)," katanya sebelum tergesa-gesa meninggalkan media sejurus Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah, menaiki kereta untuk pulang di pintu masuk utama dewan berkenaan.

Sebelum ini, sebuah stesen televisyen swasta melaporkan kenyataan Ahmad Said bahawa siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan Musa sudah ditutup kerana didapati tiada kes.

Laporan berkenaan adalah berikutan dakwaan Ketua Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub ketika menghadiri Forum Integriti di Institut Integriti Malaysia (IIM) di Kuala Lumpur Ahad lalu, kononnya BPR tidak menjalankan siasatan terhadap dakwaan pihak tertentu bahawa Musa terbabit dalam rasuah.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, dilaporkan stesen televisyen berkenaan sebagai berkata, tiada kes membabitkan Musa dengan kegiatan rasuah.

Nazri dilaporkan berkata, siasatan BPR terhadap kegiatan pembalakan haram di kawasan jauh di pedalaman Keningau pertengahan Ogos lalu mendapati ia tiada kaitan dengan Musa.

Nazri juga dilaporkan berkata, penutupan kes itu juga tiada kena mengena dengan penganugerahan darjah Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima kepada Ahmad Said.

Pada hari jadi rasmi Ahmadshah 26 Oktober lalu, Ahmad Said menerima darjah berkenaan bersama lima yang lain.

Pertengahan Ogos lalu, BPR Kuala Lumpur merampas 5,000 balak dipercayai ditebang secara haram dari pedalaman Keningau dalam operasi bersepadu di Kilometer 16, Jalan Keningau-Nabawan, selain menahan 22 lori.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya 1, Mohd Jamidan Abdullah, dilaporkan berkata, sebahagian besar balak berkenaan dipercayai dibawa keluar dari hutan Nabawan, Pensiangan dan Sook ke beberapa kilang papan di Keningau.

0 comments: