Pertahan keunikan kaum



TERUS MEMIMPIN: Abdullah bersama-sama Najib memotong pulut kuning meraikan kepemimpinan Abdullah menjadi Perdana Menteri selama empat tahun sambil diperhatikan Jeanne, Rosmah dan Raja Ahmad (kiri) ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran BNBBC di bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur, semalam.

PM minta rakyat amal sikap toleransi, utama kepentingan negara

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mahu rakyat Malaysia memelihara dan mempertahankan keunikan pelbagai kaum serta agama yang menjadi teras perpaduan negara sejak sekian lama.

Abdullah dalam perutusan sempena Deepavali berkata, bagi mencapai matlamat itu, rakyat perlu sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan mengutamakan kepentingan negara berbanding kaum masing-masing.


"Memelihara dan melindungi adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita dalam mengukuhkan integrasi dan perpaduan negara.

"Semangat kesamaan yang wujud sempena sambutan perayaan pelbagai kaum di negara ini mengajar kita untuk lebih menghormati hak satu sama lain bagi meraikan perayaan keagamaan di rumah ibadat masing-masing.

"Kepelbagaian agama dan budaya ini jugalah yang menyebabkan Malaysia cukup dikenali di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Abdullah berkata, perayaan Deepavali seperti juga perayaan lain seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Krismas memang dinantikan seluruh rakyat.

"Saya percaya amat menantikan perayaan ini, sekali gus menggambarkan sikap toleransi dan moderasi agama diamalkan di negara ini.

"Jadi, kita mesti mengambil peluang ini untuk memberikan ucapan kepada sahabat dan keluarga yang meraikan pesta cahaya ini," katanya.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Abdullah dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah meluangkan kira-kira sejam menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) di bangunan Parlimen, semalam.

Abdullah dan Jeanne tiba di Dewan Bankuet Parlimen kira-kira jam 1.30 petang dan disambut ahli Parlimen BN diketuai Pengerusi BNBBC, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Pada majlis itu, BNBBC turut meraikan kepemimpinan Abdullah menjadi Perdana Menteri selama empat tahun pada 31 Oktober lalu melalui acara simbolik memotong pulut kuning diiringi Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian artis penyanyi Nassier Wahab dan Jeffrydin. Rosmah turut menghiburkan hadirin dengan mendendangkan sebuah lagu bertajuk Bisikan Kasih.

0 comments: