Permohonan Anuar Zain 26 November ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 26 November ini untuk mendengar permohonan penyanyi Anuar Zain bagi membatalkan saman syarikat rakaman Synchrosound Records Label Music Sdn Bhd terhadapnya.

Penolong Kanan Pendaftar Siti Aishah Ab Rashid menetapkan tarikh itu dalam kamarnya semalam. Beliau turut menetapkan 10 Disember untuk pengurusan kes bagi kes saman syarikat itu terhadap Anuar.

Synchrosound memfailkan saman terhadap Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Annuar Zain, 21 April tahun lalu, menuntut ganti rugi atas dakwaan melanggar perjanjian kontrak rakaman bertarikh 23 Februari 2001.

Dalam pernyataan tuntutannya, Synchrosound mendakwa kontrak rakaman itu bermula dari 23 Februari 2001 hingga 22 Februari 2005, dengan perjanjian bahawa Anuar merakamkan satu album setahun yang mengandungi lagu pilihan syarikat rakaman berkenaan.

Syarikat rakaman itu mendakwa Anuar sepatutnya merakamkan empat album untuk keseluruhan tempoh perjanjian itu.

Bagaimanapun, Anuar hanya merakam satu album pada 2001, dan enggan serta gagal merakamkan sebarang album mengandungi lagu yang dipilih syarikat rakaman itu walaupun sudah diminta berbuat demikian.

Plaintif mendakwa, Anuar menggunakan pelbagai cara untuk memungkiri perjanjian seperti membuat permintaan tidak munasabah dan gagal/enggan menghadiri mesyuarat.

Synchrosound juga mendakwa pada 11 September 2004, Anuar menulis surat untuk membatalkan perjanjian berkenaan tanpa alasan.

Anuar, 37, dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balasnya menafikan ada peruntukan dalam perjanjian berkenaan supaya beliau merakamkan satu album setahun bermula 2001.

Defendan juga menafikan membuat permintaan yang tidak munasabah sebaliknya menegaskan beliau mempunyai sebab munasabah untuk tidak menghadiri pertemuan dengan syarikat rakaman itu.

0 comments: