Peluru dari submesingan sama

SHAH ALAM 6 Nov. – Walaupun pemeriksaan ke atas firing pin bagi submesingan HK-MP5SD yang menjadi bahan bukti dalam kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tidak dilakukan namun pakar senjata api mengesahkan bahawa berdasarkan ciri-ciri lain pada peluru, menunjukkan ia memang ditembak menggunakan senjata api yang sama.

Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alat di Seksyen Kriminalistik, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Shaari Desa, 40, ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini turut menghuraikan ciri-ciri lain yang dimaksudkan oleh beliau.

“Ia (ciri-ciri lain) dihasilkan daripada ejector (penolakan keluar), extractor dan breech face submesingan tersebut yang ditanda sebagai (Z71). Sehubungan itu, tiada kemungkinan ia datang daripada senjata api yang lain,” tegas Shaari bagi menjawab soalan dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin.

Selain itu, saksi pendakwa ke-40 itu memberitahu bahawa ciri-ciri utama yang masih kelihatan pada kelongsong peluru misalnya dari ejector mark, extractor mark, breech (bahagian belakang senjata api tempat peluru dimasukkan) block mark, firing pin mark, dan land (permukaan mendatar) and grooves (lekuk).

Menurut Shaari, meskipun tembakan menggunakan selaras senjata api yang sama namun masih terdapat perbezaan pada ciri-ciri peluru yang dikeluarkan.

“Salah satu perbezaan ialah permukaan peluru yang tidak rata. Keduanya, bahan atau logam yang digunakan untuk membuat peluru tersebut juga mempengaruhi karakteristik. Tetapi tanda ciri-ciri utama akan kekal pada kelongsong ataupun peluru yang ditembak sekiranya ia ditembak dari senjata api yang sama. Tanda-tanda ini boleh dilihat dengan jelas menggunakan bantuan mikroskop dan bukan dengan mata kasar,” kata saksi.

Soalan berhubung ciri-ciri diajukan oleh Noorin ekoran daripada pertanyaan peguam Ahmad Zaidi Zainal ketika mengendalikan pemeriksaan balas terhadap Shaari.

Peguam telah sedaya upaya cuba membuktikan terdapat kemungkinan bahawa peluru tersebut ditembak menggunakan senjata lain selain daripada Z71 memandangkan saksi tidak membuat pemeriksaan ke atas firing pin senjata api tersebut.

Perbicaraan bersambung esok.

0 comments: