Belanja berbilion hantar SMS hiburan

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Rakyat negara ini sanggup berbelanja berbilion ringgit untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) terutama yang melibatkan rancangan televisyen berbentuk hiburan yang mana ia merupakan satu trend yang membimbangkan.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, ia terbukti apabila pengguna telefon bimbit menghantar lebih 11.7 bilion SMS antara Januari hingga Mac lalu, peningkatan 4.3 bilion SMS untuk tempoh sama tahun lalu.

Menurut beliau, berdasarkan jumlah pemilik telefon bimbit yang mencecah 20.8 juta orang sekarang, secara puratanya seorang pengguna menghantar sejumlah 563 SMS sepanjang tempoh tiga bulan tersebut.

Noraini menyatakan, senario itu ternyata meresahkan tatkala ramai yang mengeluh mengenai kenaikan harga barang dan kos sara hidup tetapi mereka masih mampu berbelanja besar untuk membeli telefon bimbit serta membayar caj SMS.

Sehubungan itu, Puteri mendesak kerajaan mewujudkan garis panduan lebih ketat bagi mengawal tindakan stesen-stesen televisyen mewujudkan program-program berbentuk hiburan yang berorientasikan SMS.

“Kebanyakan rancangan televisyen mewujudkan program yang mengajak penonton termasuk kanak-kanak menghantar SMS,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Noraini, mengikut maklumat yang diterimanya ramai ibu bapa terkejut menerima bil telefon bimbit bulanan kerana bayaran SMS sahaja mencecah ribuan ringgit.

Katanya, penyalahgunaan SMS itu perlu dibendung bagi mengelakkan remaja dan kanak-kanak terdedah kepada unsur negatif termasuk penyebaran bahan-bahan lucah.

0 comments: