Teruskan sikap toleransi antara kaum

PUTRAJAYA 6 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa memelihara perpaduan kaum dengan mengamalkan sikap toleransi dan mengutamakan kepentingan negara.

Perdana Menteri dalam perutusan sempena perayaan Deepavali 2007 berkata, ini kerana usaha memelihara perpaduan adalah sebahagian daripada matlamat rakyat negara ini untuk mencapai integriti yang lebih kukuh.

Justeru, katanya, bagi mencapai matlamat itu, rakyat Malaysia perlu memikul tanggungjawab berkenaan secara bersama.

‘‘Dalam semangat bersatu padu, rakyat Malaysia juga perlu sentiasa menghormati hak sesama sendiri untuk mempraktikkan ajaran agama secara bebas di rumah ibadat masing-masing.

‘‘Malahan, meraikan perayaan yang pelbagai adalah hasil daripada kekayaan kebudayaan negara ini yang sememangnya dikenali di serata dunia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina serta perayaan utama yang lain, Deepavali juga merupakan acara nasional yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia.

Katanya, ia adalah masa bagi rakyat Malaysia mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan dan keluarga mereka yang merayakan pesta cahaya itu.

‘‘Dalam erti kata yang lain, Deepavali merupakan perayaan yang menambah nilai kepada masyarakat pelbagai etnik dan oleh itu, ia merupakan aset yang seharusnya dipelihara.

‘‘Saya percaya semua rakyat Malaysia meraikan rakan-rakan yang menyambut perayaan itu. Ia merupakan refleksi kepada sikap kesederhanaan dan toleransi agama,” katanya.

Menurutnya, perayaan Deepavali yang disambut sekali lagi melambangkan kemurahan hati rakyat Malaysia untuk menerima kehadiran tetamu.

0 comments: