Lebih 74,000 belia menganggur

Oleh Haika Khazi


ANUGERAH KHAS: Abdul Rahman menyampaikan anugerah khas kepada Nooraisha Fazana Mohd Nasir sambil diperhatikan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Romli Hassan pada majlis konvokesyen 2007 Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia Wilayah Tengah di Putrajaya, semalam.

Lulusan SPM, IPT diminta ketepi sikap memilih kerja untuk mencari pengalaman

PUTRAJAYA: Lebih 74,000 belia di seluruh negara yang mempunyai kelulusan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan ijazah sarjana muda dikenal pasti masih belum memperoleh sebarang pekerjaan, selepas tamat pengajian masing-masing.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar, berkata daripada jumlah itu lebih 25,000 adalah lulusan SPM diikuti 23,000 pemegang diploma dan bakinya sebanyak 26,000 adalah graduan institusi pengajian tinggi.

Katanya, berdasarkan kajian yang dijalankan mendapati masalah pengangguran itu berpunca daripada sikap belia terbabit yang terlalu memilih pekerjaan dan enggan bekerja dengan majikan yang menawarkan gaji rendah.


"Sikap rakyat tempatan yang enggan bekerja dalam sektor pekerjaan yang dikategorikan sebagai 3D iaitu 'difficult, dirty, dangerous' menyebabkan kerajaan terpaksa bergantung kepada pekerja asing untuk memenuhi permintaan sektor berkenaan.

"Bagaimanapun, tahap pengangguran di negara ini iaitu sebanyak 3.3 peratus masih dianggap rendah berbanding negara lain,

"Justeru, saya berharap pelajar SPM dan pemegang diploma serta ijazah dapat mengubah sikap memilih kerja ini, sebaliknya menggunakan tawaran kerja yang ada untuk menimba pengalaman," katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Terdahulu, beliau mewakili Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn menyampaikan sijil dan diploma kepada lebih 1,000 pelajar Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia pada majlis konvokesyen institut berkenaan.

Sementara itu, dalam teks ucapannya Fong berkata, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM2 bilion untuk membina lapan Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Teknologi Tinggi (PTT) di Terengganu, Pahang, Kelantan, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Katanya, pembinaan lebih banyak ILP dan PTT itu diharap dapat membantu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir bagi memenuhi pasaran kerja tempatan pada masa akan datang.

Beliau berkata, kerajaan menjangkakan wujud pertambahan guna tenaga kerja dalam sektor ekonomi negara dengan jangkaan sebanyak 1.9 peratus iaitu kepada 12 juta orang menjelang 2010, berbanding hanya 10.2 juta pekerja, dua tahun lalu.

0 comments: